MCMC sekat 2.2 bilion panggilan, SMS mencurigakan sejak 2022


  • Massa
  • Ahad, 26 Okt 2025

Fahmi Fadzil (tengah) bersama-sama dengan Peguam Cara Negara, Datuk Suzana Atan (kiri sekali), Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar (dua dari kiri); Ketua Polis Negara, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail (dua dari kanan) dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan sekali) pada pelancaran Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber di Melaka.

USAHA memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber terus dipertingkat apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber di Melaka pada Sabtu.

Pelancaran tersebut diadakan sempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025 dan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau menegaskan, perkembangan teknologi digital yang pesat telah membuka ruang yang lebih luas kepada kegiatan penipuan serta serangan siber yang semakin kompleks dan merentasi sempadan, justeru memerlukan penguat kuasa yang benar-benar bersedia dan terlatih.

BACA LAGI: ‘Tolonglah, wajibkan sekuriti fasih bahasa Melayu’, wanita luah pengalaman cemas dikejar lelaki di parkir kondominium

BACA LAGI: Aplikasi MySejahtera masih miliki 5 kelebihan selain tawar vaksin influenza percuma

“Kita mahu memastikan setiap pegawai penguat kuasa memiliki kemahiran teknikal dan pengetahuan yang mencukupi untuk bertindak pantas dan tepat dalam menangani ancaman siber yang semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Laporan pada tahun 2024 menunjukkan purata kos ketirisan data di rantau ini melebihi USD3 juta atau kira-kira RM12.7 juta.

"Dalam tempoh sama, kerugian akibat penipuan dalam talian di Asia dilaporkan mencecah USD688.4 bilion, bersamaan sekitar RM2.91 trilion, dengan seorang daripada dua individu berdepan cubaan penipuan pada setiap bulan," ujarnya.

Sebanyak 185,499 talian SMS mencurigakan telah ditamatkan, manakala sebanyak 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan telah dikemukakan kepada platform berkaitan sejak 2022. — Gambar Hiasan

Tambah Fahmi lagi, Di Malaysia, sejak tahun 2022, MCMC menyekat sebanyak 2.2 bilion panggilan meragukan dan jumlah yang sama bagi mesej SMS tidak diminta.

"Selain itu, sebanyak 185,499 talian SMS mencurigakan telah ditamatkan, manakala sebanyak 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan telah dikemukakan kepada platform berkaitan," katanya.

Kursus yang dilancarkan pada Sabtu itu merupakan kesinambungan Perjanjian Persefahaman antara MCMC dan PDRM yang ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan siasatan dan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan jenayah siber.

Sebelum ini, kedua-dua agensi turut terlibat dalam operasi bersama seperti Op Pedo 1 pada Disember 2024, Op Pancing pada September 2025 serta Op Pedo 2 pada bulan yang sama.

Kursus yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan itu memfokuskan kepada pembangunan modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa kerajaan, termasuk penguasaan aspek penyiasatan teknikal, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes serta prosedur tindakan mengikut perundangan semasa.

Latihan itu turut melibatkan kepakaran pelbagai agensi keselamatan siber di peringkat nasional.

Melalui inisiatif berkenaan, kerajaan berharap dapat membentuk barisan pegawai penguat kuasa yang lebih responsif, bersepadu dan berkeupayaan tinggi dalam menangkis ancaman siber yang semakin berkembang di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram