Aplikasi MySejahtera masih miliki 5 kelebihan selain tawar vaksin influenza percuma


  • Massa
  • Khamis, 23 Okt 2025

Aplikasi MySejahtera masih lagi relevan dan terus menjadi tulang belakang sistem kesihatan digital negara. 

"AKU tak perlu lagi aplikasi MySejahtera, zaman Covid-19 sudah berakhir." Itulah ayat yang sering kali meniti bibir segelintir masyarakat apabila ditanya tentang aplikasi kesihatan yang pernah menjadi keperluan utama suatu ketika dahulu. 

Bagi mereka, tamatnya pandemik bermaksud tamat juga fungsi aplikasi yang sinonim dengan imbasan kod QR dan paparan status vaksinasi.

Namun, hakikatnya aplikasi MySejahtera masih lagi relevan dan terus menjadi tulang belakang sistem kesihatan digital negara. 

BACA LAGI: 'Wujudkan diskaun khas lesen memandu kereta-motor bagi yang kurang mampu buat kali pertama'

BACA LAGI : [VIDEO] 'Pesawat jatuh menjunam, saya sangka inilah penerbangan terakhir kami', penumpang kongsi detik cemas ke Bintulu

Jika dahulu peranannya tertumpu kepada pengesanan kontak rapat dan pengurusan vaksin Covid-19, kini ia berevolusi menjadi platform kesihatan awam yang komprehensif. 

Transformasi tersebut menandakan langkah besar Malaysia dalam menuju pendigitalan sistem penjagaan kesihatan yang efisien, mudah diakses dan mesra pengguna.

Temu janji hospital dan klinik gigi kini lebih mudah

Selain menjimatkan masa dan tenaga, sistem temu janji MySejahtera turut membantu pihak hospital menyusun jadual pesakit dengan lebih teratur. — Facebook MySejahtera

Salah satu ciri utama yang menjadikan MySejahtera kekal relevan ialah kemudahan menempah temu janji di hospital dan klinik gigi kerajaan. 

Fungsi itu membolehkan pengguna membuat tempahan secara dalam talian, memilih tarikh serta masa yang sesuai tanpa perlu menunggu lama di kaunter pendaftaran.

Selain menjimatkan masa dan tenaga, sistem temu janji digital ini turut membantu pihak hospital menyusun jadual pesakit dengan lebih teratur. 

Pengguna juga akan menerima notifikasi peringatan automatik bagi mengelakkan mereka terlepas janji temu, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan susulan.

Alat pengesanan penyakit berjangkit

MySejahtera juga terus digunakan dalam usaha mengesan dan memantau penyakit berjangkit di seluruh negara. — Facebook MySejahtera

Selain fungsi temu janji, MySejahtera juga terus digunakan dalam usaha mengesan dan memantau penyakit berjangkit di seluruh negara. 

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melaporkan gejala atau kes tertentu seperti denggi, influenza, rabies dan penyakit tangan, kaki serta mulut (HFMD).

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memantau laporan-laporan ini secara masa nyata dan mengambil tindakan segera bagi mengawal penularan di kawasan berisiko.

Sebagai contoh, jika terdapat peningkatan kes denggi di sesuatu kawasan perumahan, amaran boleh dihantar terus kepada pengguna MySejahtera di kawasan tersebut supaya mereka lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan seperti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Fungsi ini menjadikan MySejahtera sebagai jambatan komunikasi dua hala antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Vaksin Influenza percuma untuk warga emas

Melalui MySejahtera, individu berusia 60 tahun ke atas boleh menyemak kelayakan, memilih klinik kesihatan terdekat dan menempah slot vaksinasi dengan mudah. — Facebook MySejahtera

Inisiatif terbaharu yang mengukuhkan peranan MySejahtera ialah pelaksanaan program vaksin influenza percuma bagi warga emas oleh KKM. 

Melalui aplikasi ini, individu berusia 60 tahun ke atas boleh menyemak kelayakan, memilih klinik kesihatan terdekat dan menempah slot vaksinasi dengan mudah.

Program itu bukan sahaja membantu melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi jangkitan influenza bermusim, malah mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat penyakit pernafasan yang boleh dicegah melalui vaksinasi.

Semua rekod vaksinasi juga disimpan secara digital dalam aplikasi, membolehkan pengguna atau penjaga mengakses maklumat dengan lebih mudah dan selamat. 

Memudahkan anak memantau data kesihatan ibu bapa

MySejahtera menyediakan kemudahan untuk ahli keluarga memantau data kesihatan ibu bapa atau tanggungan mereka dengan kebenaran pengguna. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Selain berfungsi sebagai platform peribadi, MySejahtera kini turut menyediakan kemudahan untuk ahli keluarga memantau data kesihatan ibu bapa atau tanggungan mereka dengan kebenaran pengguna.

Melalui fungsi ini, anak-anak boleh membantu ibu bapa warga emas membuat janji temu, menyemak status vaksinasi, atau memantau rekod kesihatan yang disimpan dalam aplikasi. 

Ia amat berguna bagi mereka yang tinggal berjauhan, kerana segala maklumat kesihatan boleh diakses secara dalam talian tanpa perlu hadir ke klinik.

Pengurusan kesihatan bakal Haji 

MySejahtera kini turut memainkan peranan penting dalam membantu bakal jemaah haji menguruskan kesihatan mereka dengan lebih sistematik dan tersusun.

Melalui fungsi khas yang diperkenalkan oleh KKM dan Lembaga Tabung Haji, segala urusan kesihatan Haji kini boleh dilakukan sepenuhnya melalui aplikasi ini.

Antara kemudahannya termasuk tempahan janji temu pemeriksaan kesihatan dan kemas kini sejarah perubatan dan pelaksanaan Saringan Status Kesihatan Mental (SSKM).

Kemudahan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga bakal jemaah, malah memastikan maklumat kesihatan mereka sentiasa dikemaskini dan boleh diakses oleh petugas kesihatan semasa di Tanah Suci nanti.

Pendek kata, semua urusan kesihatan haji kini benar-benar berada di hujung jari, menjadikan pengalaman pra-Haji lebih lancar dan tersusun.

Sehubungan itu, pandangan bahawa MySejahtera sudah tidak lagi diperlukan jelas meleset. 

Aplikasi ini bukan sahaja masih relevan, malah semakin penting dalam membentuk ekosistem kesihatan digital negara.

MySejahtera kini boleh dimuat turun secara percuma di App Store bagi pengguna iPhone dan Play Store bagi pengguna Android.

Untuk maklumat lanjut mengenai fungsi dan kemas kini terbaru MySejahtera, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di https://mysejahtera.moh.gov.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram