
SEORANG pemandu e-hailing di Langkawi, Kedah berkongsi pengalaman mengejutkan apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didakwa tidak berpakaian sopan selepas memakai baju tanpa kolar ketika bertugas di pulau pelancongan itu.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Sobri Kasah berkata, insiden itu merupakan kali pertama dalam hidupnya menerima saman JPJ sejak memperoleh lesen memandu lebih 30 tahun lalu.
"Dalam sejarah hidup aku, ini pertama kali disaman JPJ sejak dapat lesen lebih 30 tahun.
"Walaupun kesalahan pertama, tiada amaran, tiada tolak ansur. Sign (tandatangan) saja, jangan cakap banyak,” tulisnya pada Selasa.
Menurut Sobri, pada awalnya dia menyangka kesalahan yang dilakukan berkaitan peraturan jalan raya, namun terkejut apabila diberitahu ia disebabkan memakai baju tidak berkolar.
“Rupanya kerana baju tak berkolar. Baru tahu bukan senang nak jadi driver e-hailing. Pakai baju tak berkolar pun dah dikategorikan sebagai melanggar undang-undang,” katanya lagi.
Sobri memaklumkan, kesalahan tersebut tertakluk di bawah Akta K15(b) PSV(LCDCP) 1959 T, iaitu kesalahan ‘tidak berpakaian sopan, kemas dan bersih’, yang boleh dikenakan denda antara RM150 hingga RM300 sekiranya tidak diselesaikan dalam tempoh 60 hari.
Tambahnya lagi, walaupun menganggap tindakan itu agak tegas, dia tetap menghormati penguatkuasaan yang dijalankan.
“Apapun, tahniah buat semua penguat kuasa yang tegas menjalankan tugas,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dengan saman yang dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.
Seorang pengguna Facebook, Nurul Ain J menulis, tindakan itu dianggap tidak wajar dan terlalu tegas.
“Mengarut undang-undang ni. Macam dah tak boleh nak guna budi bicara.
"Setakat baju tak berkolar pun boleh kena saman. Share dekat FB group e-hailing atau G**b bang, biar ramai driver alert pasal ni," katanya.
Kod etika pemandu e-hailing. — Pak Supir
Namun, ada juga yang berpendapat tindakan JPJ itu berasas.
Pak Supir menjelaskan bahawa pemandu e-hailing memang sudah dimaklumkan mengenai peraturan berpakaian dalam modul latihan PSV.
“Benda ini memang ada dalam buku latihan masa nak ambil kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dulu, bab 3.3.1 — persediaan diri,” tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, pihak Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada syarikat e-hailing.
Pada masa sama, masih belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram