Seramai 12 bakat muda terbaik Kem Final Klinik STL bakal beraksi di pentas tertinggi sepak takraw


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Antara aksi menarik peserta muda Kem Final Klinik STL yang berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Stadium Raja Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SERAMAI 12 pemain muda terbaik daripada Kem Final Klinik STL kini berpeluang menimba pengalaman beraksi di pentas Sepak Takraw League (STL) musim hadapan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier mereka sebagai pemain profesional.

Kem berkenaan yang berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Stadium Raja Muda, Kuala Lumpur selama lima hari baru-baru ini menghimpunkan 40 peserta terbaik hasil saringan sejak sesi pemilihan awal pada Mei lalu.

Sepanjang kem itu, peserta dibimbing jurulatih kebangsaan menerusi modul latihan intensif yang merangkumi aspek teknikal, taktikal serta pembentukan jati diri bagi melahirkan pemain berdaya saing tinggi dan berdisiplin.

BACA LAGI: [VIDEO] Kem Final Klinik STL 2025 himpun 40 bakat muda negara di Kuala Lumpur

BACA LAGI: Tukar venue, kecederaan bukan penghalang Penang Black Panther mahu capai misi kekal musim depan — Pengurus

Program ini menjadi penutup kepada siri Klinik STL, sebuah inisiatif kelestarian anjuran Astro Kasih bersama Astro Arena yang bertujuan memperkukuh pembangunan akar umbi sukan sepak takraw di Malaysia.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkasa bakat muda melalui kerjasama strategik bersama Astro.

"Inisiatif Klinik STL bukan sahaja memberi pendedahan awal, malah menyediakan laluan jelas untuk mereka mara lebih jauh.

"Peserta berpotensi tinggi akan berpeluang menyertai kejohanan seperti Kejohanan Remaja Kebangsaan dan pertandingan anjuran PSM lain pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

(Dari kiri) Nicholas dan Hannah Yeoh di Kem Final Klinik STL 2025 yang berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Stadium Raja Muda baru-baru ini. " />

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pihaknya sedang merangka pelan bagi memastikan 12 pemain muda itu mendapat peluang menyertai saingan STL di peringkat divisyen pada musim akan datang.

"Penyertaan mereka mungkin bukan sebagai pemain utama, namun peluang untuk berlatih bersama pasukan profesional amat berharga. Ia menjadi platform penting untuk membina keyakinan, disiplin berpasukan serta memberi hala tuju jelas kepada mereka selepas tamat kem final," katanya.

Nicholas menegaskan, Astro komited memperkukuh ekosistem sepak takraw negara daripada akar umbi hingga ke peringkat profesional supaya bakat baharu tidak terhenti di peringkat pembangunan semata-mata.

Kem Final Klinik STL turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turun meninjau sesi latihan bersama peserta.

Program berkenaan turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan penaja rasmi STL, CelcomDigi, dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat muda negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram