Angka tak menipu, Jairo buktikan diri mampu jadi aset utama JDT walau kerap dikritik


  • Podium
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Jairo merekodkan enam gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 13 penampilan bersama JDT pada ketika ini. — Facebook Johor Southerns Tigers

NAMA Jairo Da Silva bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun dia baru sahaja menyertai skuad Harimau Selatan pada musim ini. 

Pemain import dari Brazil itu kerap menjadi antara watak yang hangat diperkatakan, khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Hal ini susulan ada pandangan yang menyifatkan prestasinya belum konsisten, selain kritikan yang dilemparkan terhadap sumbangannya di atas padang. 

BACA LAGI : [VIDEO] 'Ada cerita yang takkan berakhir', Mat Don janji datang semula selepas Kedah kembali 'bernyawa'

BACA LAGI : Ramai tak tahu, bukan Sumareh tetapi bintang Singapura muncul pemain naturalisasi pertama Malaysia sebelum ‘campur tangan’ FIFA

Lebih ketara, penyerang berusia 33 tahun itu sering dibandingkan dengan penyerang sensasi JDT sebelum ini, Bergson Da Silva, yang memiliki reputasi lebih unggul sebagai penjaring prolifik dan ikon serangan kelab tersebut.

Namun, terdapat perbezaan jelas antara kedua-dua pemain yang wajar diperhalusi sebelum penilaian dibuat.

Jika melihat kepada statistik terkini, Jairo merekodkan enam gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 13 penampilan bersama JDT, menjadikannya antara pemain yang paling banyak terlibat secara langsung dalam proses jaringan Harimau Selatan musim ini. 

Sumbangan terbaharunya hadir ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Chengdu Rongcheng, apabila hantaran tepatnya membuka ruang kepada jaringan pembukaan Oscar Arribas sebelum JDT mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Selasa.

Statistik ini sahaja sudah cukup menunjukkan bahawa peranannya bukan kecil. 

Namun mungkin kerana peranan taktikalnya tidak seagresif gaya permainan Bergson, sumbangan Jairo kurang dinilai oleh sebahagian penyokong.

Sebagai perbandingan, Bergson merupakan penyerang yang berorientasikan penyudah yang mana tugas utamanya ialah mencari ruang dalam kotak penalti dan meledak gol.

Bergson merupakan penyerang yang berorientasikan penyudah yang mana tugas utamanya ialah mencari ruang dalam kotak penalti dan meledak gol. — Facebook Johor Southerns Tigers

Manakala Jairo pula mempunyai profil berbeza, berfungsi sebagai penyerang penghubung yang banyak terlibat dalam membina gerakan seperti menurunkan posisi untuk menerima bola dan membuka ruang untuk rakan sepasukan melakukan larian.

Selain itu, satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan Jairo menyesuaikan diri dengan cepat. 

Berbeza dengan kebanyakan pemain import yang memerlukan masa lebih panjang untuk memahami falsafah permainan serta tempo liga Malaysia, Jairo menunjukkan adaptasi yang positif sejak awal penyertaan.

Selain nilai perpindahan sekitar €900,000 (RM4.45 juta) dan peranan taktikalnya, latar belakang Jairo turut memperlihatkan pengalaman luas antarabangsa yang boleh memberi manfaat besar kepada JDT. 

Pengalaman Jairo dalam saingan kelayakan Liga UCL dan Liga UEL disebut sebagai faktor yang boleh memberikan nilai tambah kepada JDT. — Facebook Johor Southerns Tigers

Untuk rekod, Jairo pernah beraksi untuk kelab seperti Botafogo (Brazil), PAOK Salonica (Greece) dan Hajduk Split (Croatia) sebelum memilih untuk beraksi di Liga Cyprus bersama Pafos FC. 

Di Pafos FC, Jairo memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu merangkul kejuaraan liga, dengan mencatatkan 10 gol dan 5 bantuan jaringan dalam musim tersebut. 

Pengalaman Jairo dalam saingan kelayakan Liga Juara‑Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa (UEL) turut disebut sebagai faktor yang boleh memberikan nilai tambah kepada JDT dalam saingan domestik dan Asia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram