[VIDEO] 'Ada cerita yang takkan berakhir', Mat Don janji datang semula selepas Kedah kembali 'bernyawa'


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Liridon pernah menjadi watak penting dalam skuad Kedah antara tahun 2015 hingga 2019, di mana dia membantu pasukan itu meraih beberapa kejuaraan utama termasuk Piala Malaysia dan Piala FA.

 

 

KEMELUT yang sedang melanda Kedah Darul Aman (KDA) ketika ini terus menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Pasukan yang pernah digeruni dengan jolokan Sang Kenari itu kini berdepan pelbagai isu termasuk kemerosotan prestasi, masalah penajaan serta pengurusan tidak stabil.

Lebih malang lagi, pasukan yang pernah merangkul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

BACA LAGI: Ramai tak tahu, bukan Sumareh tetapi bintang Singapura muncul pemain naturalisasi pertama Malaysia sebelum ‘campur tangan’ FIFA

BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini

Penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26 juga tidak mengubah nasib malang itu apabila mereka menduduki tangga kedua tercorot selepas hanya meraih tiga mata dari lapan perlawanan.

Situasi itu menyebabkan penyokong setia Hijau Kuning berpecah kepada dua, antara yang masih setia memberi sokongan dan yang sudah hilang kepercayaan terhadap hala tuju pasukan.

Namun, di sebalik suasana suram itu, bekas pemain import yang pernah menjadi tonggak utama Kedah, Liridon Krasniqi tampil menyuarakan sokongan padu kepada pasukan lamanya menerusi satu hantaran penuh emosi di laman TikTok peribadinya.

Pemain naturalisasi Harimau Malaya itu menegaskan semangat Hijau Kuning tidak pernah padam walaupun pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan dan prestasi yang merudum.

"Mereka kata Kedah sudah berakhir. Tiada penaja, tiada harapan dan tiada penyokong.

"Saya tidak setuju. Jauh di sudut hati, kami (KDA) masih hidup. Ada cerita yang takkan berakhir.

"Jika satu hari nanti Kedah bangkit semula, saya akan kembali dengan segala yang saya ada, demi cinta ini. Cinta kepada Kedah,” katanya.

Hantaran itu nyata menyentuh hati ramai penyokong yang masih menaruh harapan agar Kedah kembali ke zaman gemilangnya.

Rata-rata peminat memuji keikhlasan Liridon yang masih menunjukkan kasih terhadap negeri yang pernah menaikkan namanya dalam dunia bola sepak Malaysia.

Antara komen menarik datang daripada seorang pengguna TikTok bernama Chong05 yang berharap kehadiran Liriridon dapat mengembalikan zaman kegemilangan skuad Hijau Kuning bangkit dari kejatuhan.

“Jangan lupa kamu berasal dari Empayar 'Kedah Tua'. Kebangkitan raja Liga Malaysia akan tiba tidak lama lagi. Kembalilah dan cipta sejarah baharu untuk Sang Kenari," katanya.

Liridon, yang mesra disapa ‘Mat Don’ dalam kalangan penyokong Kedah, bukanlah asing dengan semangat cintanya terhadap pasukan itu.

Malah, ini bukan kali pertama dia menyuarakan hasrat untuk kembali menyarung jersi Hijau Kuning.

Sebelum ini, Liridon pernah menawarkan diri untuk kembali beraksi bersama Kedah secara percuma demi membantu skuad Sang Kenari bangkit semula dan mengembalikan maruah pasukan di pentas Liga Malaysia.

Namun begitu, sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan KDA terhadap hasrat tersebut.

Untuk rekod, Liridon pernah menjadi watak penting dalam skuad Kedah antara tahun 2015 hingga 2019, di mana dia membantu pasukan itu meraih beberapa kejuaraan utama termasuk Piala Malaysia dan Piala FA.

Selepas meninggalkan Kedah, pemain kelahiran Kosovo itu sempat menyarung jersi beberapa pasukan lain termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United serta Odisha FC di India.

Kini, Liridon dilaporkan beraksi bersama sebuah kelab amatur, Kafig Tiger FC, yang bersaing dalam kejohanan Baller League di Jerman bagi mengekalkan kecergasan dan terus aktif dalam bola sepak.

Meskipun sudah jauh di perantauan, kata-kata dan semangat yang dizahirkan Liridon menjadi bukti bahawa cintanya terhadap Kedah tidak pernah luntur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram