[VIDEO] Mujur ada doktor, lelaki panik rahang tiba-tiba 'terkunci' ketika menguap dalam tren di India


  • Benua
  • Rabu, 22 Okt 2025

Aashid Chandra, disahkan mengalami terkehel sendi temporomandibular (TMJ) sehingga tidak mampu bercakap atau menelan. — Agensi

APA yang bermula sebagai menguap bertukar detik cemas buat seorang pemuda berusia 24 tahun dari West Bengal, India apabila rahangnya tiba-tiba menjadi kejang ketika menaiki tren Vivek Express.

Mangsa, Aashid Chandra, disahkan mengalami terkehel sendi temporomandibular (TMJ) sehingga tidak mampu bercakap atau menelan.

Namun, tindakan pantas Dr. Jithin P.S. seorang pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Kereta Api Palakkad, berjaya menyelamatkan keadaan apabila dia merawat Aashid di platform stesen dalam tempoh kurang tiga minit, tanpa perlu merujuk ke hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Sudah berdamai, kes lelaki hempuk juruwang diklasifikasikan NFA — Polis Selama

BACA LAGI: 'Sign saja, jangan cakap banyak', pemandu e-hailing pasrah disaman JPJ kerana pakai baju tak berkolar di Langkawi

Menurut Southern Railways, kejadian itu berlaku sekitar pukul 2.30 pagi di Stesen Palakkad, Kerala baru-baru ini.

Video kejadian turut menjadi tular di laman media sosial dan tindakan doktor itu menerima pujian ramai.

 

 

 

 

Dalam video berkenaan, Dr. Jithin dilihat melakukan prosedur ‘manual reduction’, iaitu teknik menekan dan meluruskan semula sendi rahang yang terkehel ke kedudukan asal.

Aashid kemudiannya dilihat mengucapkan terima kasih dan berjabat tangan dengan doktor selepas berjaya menutup mulut serta bercakap semula.

Dalam perkembangan lain, seorang pakar yang tidak didedahkan namanya menjelaskan, TMJ dislocation berlaku apabila rahang bawah bergerak keluar daripada sendi yang menghubungkannya dengan tengkorak.

Ia disebabkan oleh menguap terlalu luas, kecederaan pada rahang, atau semasa rawatan pergigian yang memerlukan mulut terbuka lama.

Antara simptomnya termasuk tidak boleh menutup mulut, sakit di bahagian rahang atau telinga, kesukaran bercakap dan mengunyah serta air liur berlebihan.

Walaupun keadaan itu tidak mengancam nyawa, ia memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan kekejangan otot dan kerosakan jangka panjang pada sendi rahang.

Kejadian tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang memuji kecekapan doktor berkenaan, selain mencadangkan agar setiap tren jarak jauh dilengkapi dengan pegawai perubatan bagi menghadapi sebarang kecemasan penumpang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram