[VIDEO] Rakyat Malaysia makin pentingkan diri naik lif, wanita OKU tampil buat ‘tutorial’ guna eskalator


  • Massa
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Tangkap layar Zeeda terpaksa menggunakan eskalator disebabkan sikap pentingkan diri segelintir masyarakat yang menggunakan lif di pusat beli-belah.

LIF yang sepatutnya digunakan oleh golongan memerlukan seperti warga emas, ibu mengandung dan individu Orang Kurang Upaya (OKU) kini sering menjadi rebutan dalam kalangan orang ramai yang sihat tubuh badan.

Fenomena itu menjadi topik perdebatan hangat di media sosial, khususnya di platform Threads, apabila ramai pengguna mula berbahas tentang siapa sebenarnya lebih layak menggunakan kemudahan tersebut.

Ada yang mempertahankan hak masing-masing untuk menggunakan lif dengan alasan keletihan, membawa barang berat atau menolak stroller bayi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pesawat jatuh menjunam, saya sangka inilah penerbangan terakhir kami', penumpang kongsi detik cemas ke Bintulu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak soleh bukan dikira menerusi pangkat dan darjat', remaja sindrom Down betulkan tudung ibu simbol kasih sayang sejati

Namun, tidak kurang juga yang menegur sikap segelintir individu yang tidak memahami keutamaan sebenar.

Di tengah-tengah perbalahan itu, aktivis dan penulis terkenal, Zeeda Aziz yang kudung sebelah kaki tampil mencuri perhatian apabila dengan tenang berkongsi 'tutorial' menggunakan eskalator sebagai sindiran halus terhadap sikap pentingkan diri dalam masyarakat.

 

 

Menerusi satu hantaran di Threads miliknya pada Rabu, Zeeda berkata, dia hanya mampu memerhati perdebatan tersebut sambil berkongsi pengalamannya sendiri sebagai individu OKU.

“Saya sebagai individu OKU yang sah, hanya mampu perhati posting dekat Threads hari ini, semua bergaduh pasal siapa berhak guna lif di pusat beli-belah.

"Saya sakit tumit, saya bawa bayi dalam stroller!

"Sebab kamu semua bergaduh, beginilah saya terpaksa guna eskalator,” tulisnya dengan sinis.

Zeeda menjelaskan, dia terpaksa belajar menggunakan eskalator selepas berulang kali diketepikan oleh orang ramai yang berebut masuk ke dalam lif tanpa menghiraukannya.

“Kenapa agaknya saya perlu belajar guna eskalator? Sebab rakyat Malaysia makin lama makin pentingkan diri sendiri, hanya fikir tentang keselesaan sendiri,” katanya.

Zeeda turut menegaskan, konsep ‘sama-sama guna’ yang dianggap adil sebenarnya boleh menyebabkan golongan yang benar-benar memerlukan menjadi mangsa.

“Idea ‘sama-sama guna’ nampak adil, tapi begitulah ia bermula sehingga pengguna sebenar akhirnya terpinggir,” ujarnya.

Zeeda juga mengakui dirinya masih berasa takut setiap kali menaiki eskalator, namun tiada pilihan lain apabila lif sering digunakan oleh mereka yang lebih sihat.

“Takut ke bila guna eskalator? Ya, setiap kali. Hanya Tuhan tahu betapa laju jantung saya berdebar setiap kali pijak anak tangga yang bergerak itu,” katanya.

Dalam masa sama, Zeeda turut menegur sikap sesetengah masyarakat yang tidak menghormati kemudahan khas seperti tandas OKU di pusat beli-belah.

“Sebab itulah tandas OKU di pusat beli-belah selalunya dikunci. Ramai rakyat Malaysia masih tak faham fungsi kemudahan khas untuk golongan ini,” katanya.

Zeeda turut menyarankan agar sekurang-kurangnya satu daripada empat lif dijadikan lif khas untuk golongan OKU dan dikawal oleh pihak keselamatan bagi memastikan pengguna sebenar mendapat keutamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram