
PEPOHON hijau yang merimbun di kafe Rumapokok itu cukup mendamaikan mata yang seharian lelah bekerja.
Tersorok di pekan kecil Sungai Pelek, Sepang, Selangor, premis yang asalnya sebuah nurseri itu kini mula menarik perhatian penduduk tempatan serta pelancong luar.
Sesuai dengan namanya, kafe tersebut menampilkan suasana cukup tenang, rustik dan dikelilingi rimbunan pokok hijau yang menyejukkan pandangan.
BACA LAGI: Ibarat 'masuk hantu' jaga bonsai, dua sahabat dari Johor tuai rezeki 'emas hijau'
Rumapokok kini meluaskan operasi ke dalam bentuk perniagaan F&B. — ART CHEN/ The Star
Terletak di laluan menuju ke Pantai Bagan Lalang, salah satu destinasi pantai popular di negeri itu, Rumapokok kini menjadi hentian wajib bagi mereka yang mencari tempat bersantai, menjamu selera dan menikmati kopi sebelum meneruskan perjalanan.
Rumapokok diusahakan oleh pasangan suami isteri, Mohd Nornizam Razali dan Siti Hanis Juriah Hashim, yang pada awalnya menjalankan perniagaan tapak semaian tanaman hiasan.
Namun, atas permintaan pelanggan, premis itu mengalami titik perubahan ke sebuah kafe dengan konsep taman.
“Ramai pelanggan yang datang beli pokok tanya kalau kami jual minuman.
"Dari situ kami mula cuba jual kopi dan kek. Ia satu peluang untuk kembangkan bisnes, jadi kami ikut saja aliran rezeki itu,” kata Siti Hanis tersenyum.
Meskipun beroperasi dalam skala kecil, mereka berusaha untuk menepati kehendak dunia perniagaan sebenar.
Manakan tidak, enggan terhad kepada penjualan hidangan pencuci mulut, Rumapokok meluaskan operasi ke dalam bentuk perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Suasana cukup tenang dengan dikelilingi rimbunan pokok hijau yang menyejukkan pandangan pasti menambat hati pelanggan Rumapokok. — ART CHEN/ The Star
Kini ia menyajikan pelbagai hidangan fusion serta hidangan asli yang mendapat sambutan pelanggan.
"Kami bukan kafe mewah, hanya kafe kecil di ceruk kampung tapi kami ada impian besar untuk ubah landskap F&B di Sungai Pelek," katanya.
Antara menu yang paling mendapat perhatian ialah spagheti masak lemak cili api yang menggabungkan cita rasa tradisional Melayu dengan gaya Barat moden.
Menu daging masak lemak cili api bersama nasi putih panas juga mendapat sambutan pelanggan.
Selain itu, mereka turut menyajikan hidangan snek seperti kepingan tortilla rangup bersama daging dan sos keju masam manis, fish and chip, bebola daging home-made dan chicken chop.
Sambil menikmati makanan, pelanggan boleh memilih minuman istimewa seperti kopi gula melaka yang menjadi kegemaran ramai dan coklat ais.
Antara hidangan yang boleh didapati di Rumapokok ialah fish and chip dan chicken chop. — ART CHEN/ The Star
Bagi mereka yang menggemari minuman berkarbonat ringan, sparkling beri, honey jujube premium dan asam boi fizz pula menawarkan kesegaran yang sempurna untuk hari panas.
Suasana semula jadi di bawah teduhan pokok besar dan dekorasi kayu menjadikan Rumapokok lokasi ideal untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Kami bukan sekadar jual makanan tapi mahu mencipta tempat untuk pelanggan membawa keluarga dan sahabat handai berkumpul serta tempat yang boleh dibanggakan oleh komuniti," katanya lagi.
Seorang pelanggan tetap, Aina, berkata kafe itu sering menjadi pilihan mereka setiap hujung minggu.
“Makanannya sedap dan suasananya buat kita rasa nak duduk lama,” ujar Aina ringkas.
Selain menjadi tempat makan, Rumapokok turut memperkukuh daya tarikan Sungai Pelek kawasan yang terkenal dengan restoran makanan laut, perkampungan nelayan dan keindahan pantai berhampiran. — The Star/ ASHIQIN AHMAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram