
DI sebalik jenama bayi Joey & Mom, tersembunyi kisah menyentuh hati mengenai seorang ibu yang mengubah detik mencabar dalam hidupnya menjadi sebuah perniagaan yang berkembang maju.
Purani Selvaratnam, 35, meninggalkan kerjaya korporat dalam bidang perundingan cukai selama lebih sedekad apabila anak lelakinya yang baru lahir perlu menjalani pembedahan akibat kondisi kesihatan sejak lahir iaitu hernia diaphragmatic kongenital (CDH).
“Ia adalah hikmah yang tersembunyi. Saya diberi peluang untuk benar-benar hadir untuk anak-anak saya dan pada masa yang sama membina Joey & Mom menjadi sesuatu yang lebih bermakna, bukan sekadar usaha sampingan," kongsinya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bantal busuk' jadi ilham pasangan usahawan bina empayar Leyna, bantu ekonomi komuniti
Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of South Australia dan sokongan suaminya dalam membuat keputusan strategik serta kewangan, Purani mula membentuk jenama Joey & Mom dengan matlamat serta pendekatan yang praktikal.
Kedua-dua anak lelakinya, Ishaan, 6 dan Arshaan 4, menjadi sumber inspirasinya setiap hari.
Joey & Mom pertama kali diperkenalkan kepada umum pada tahun 2022 melalui penyertaan di sebuah ekspo bayi, titik permulaan penting bagi jenama berkenaan.
“Kami bermula dengan satu produk sahaja iaitu kain bedung. Tapi kami betul-betul teliti pelbagai aspek, daripada saiz yang lebih besar hingga ke fabrik kapas buluh berkualiti tinggi.
"Ini supaya ia boleh digunakan dalam pelbagai cara termasuk sebagai kain penyusuan, penutup stroller, alas tilam dan juga selimut,” jelasnya.
Purani menganggap maklum balas pelanggan juga sangat penting untuk menambah baik barangan yang dihasilkan.
Semasa di ekspo, Purani meluangkan masa untuk bercakap dengan para ibu, mendengar sendiri keluhan mereka, kekangan bajet, dan perasaan keliru dalam membuat persiapan menyambut bayi.
Maklum balas inilah yang menjadi asas kepada penghasilan produk-produk seterusnya.
“Kami sedar ramai ibu bapa tidak tahu dari mana harus bermula. Jadi kami perkenalkan bundle iaitu set barangan penting yang dipilih dengan teliti bagi memudahkan proses beli-belah.
"Ibu bapa boleh mencuba produk kami melalui set ini dan kemudian membeli semula secara dalam talian atau di kedai jika diperlukan," katanya.
Bundle itu akhirnya menjadi identiti Joey & Mom - penyelesaian praktikal dan dipercayai yang terus mendapat permintaan tinggi hingga hari ini.
Kini, jenama itu telah berkembang kepada lebih 100 SKU, termasuk romper, tuala, poncho, dan pakaian mandi premium, semuanya dibangunkan dengan penekanan kepada kelestarian, keselesaan dan fungsi sebenar.
Selain itu, produk Joey & Mom yang namanya diilhamkan daripada panggilan ‘joey’ atau anak kanggaru dalam bahasa Inggeris, menawarkan pakaian mandi yang berkualiti tinggi.
“Ketika saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi rangkaian baju renang, saya dapati ada produk jenama luar negara yang menawarkan harga mahal namun kualitinya tidak sepadan.
“Banyak pakaian mandi kanak-kanak di pasaran tidak mempunyai lapisan berganda, menggunakan material yang tidak berkualiti bahkan rekaannya terlalu asas.
"Kanak-kanak mudah berasa sejuk dan kualitinya tidak memuaskan. Jadi kami naik taraf dengan menggunakan fabrik premium, menambah lapisan dalam atau lining, dan membuat reka bentuk dengan gaya yang moden dan sesuai untuk kulit sensitif," katanya.
Purani menunjukkan kain bedung Joey & Mom yang dihasilkan daripada fabrik kapas buluh organik berkualiti tinggi.
Setiap produk dibangunkan berdasarkan pengalaman sebenar keibubapaan, dicipta dengan penuh perhatian, sentiasa diperbaiki dan disesuaikan dengan keperluan harian keluarga.
Hari ini, Joey & Mom boleh didapati di lebih 40 peruncit terkenal di seluruh Malaysia termasuk Mothercare dan Happikiddo, serta dalam talian menerusi laman web rasmi Joey & Mom, Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Jenama itu juga telah menembusi pasaran Singapura, Brunei dan Maldives, dengan perancangan seterusnya untuk memasuki pasaran Indonesia, India dan Amerika Syarikat.
Melangkah ke hadapan, Purani kini dalam proses membangunkan rangkaian produk baharu untuk kanak-kanak peringkat prasekolah khususnya yang bakal memasuki alam persekolahan yang mungkin akan dilancarkan di bawah jenama berasingan.
Ia kini berada di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pada masa sama, Purani yang dilahirkan di Malaysia dan berketurunan Selonese Sri Lanka terus melabur dalam teknologi tekstil yang lebih baik dan rekaan yang lebih pintar untuk mempertingkatkan penawaran produk teras Joey & Mom.
“Kami mahu menetapkan standard yang tinggi dan membuktikan bahawa jenama dari Malaysia mampu menghasilkan kualiti bertaraf dunia.
"Matlamat kami adalah untuk membawa Joey & Mom ke pentas global, sambil terus berpegang kepada nilai yang menjadi asas permulaannya: penjagaan, keprihatinan, dan kasih sayang untuk keluarga," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram