
KEENAKAN juadah kari yang rasanya pedas, berempah dan berlemak boleh dikatakan menjadi titik mula buat Mohd Salleh Mat Yusof, 44, menceburkan diri dalam bidang pembuatan makanan.
Mesra disapa Pak Leh, lelaki berasal dari Felda Trolak Selatan, Sungkai, Perak itu berkata, ketika pertama kali ditugaskan sebagai pensyarah di sebuah kolej di Pulau Pinang, dia gemar mencari tempat-tempat makan berasaskan kari.
Manakan tidak, negeri yang terkenal dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu cukup popular menerusi hidangan nasi kandar yang cukup ‘surrrrr’ dihidangkan bersama kuah kari banjir.
Pes masakan jenama Pak Leh yang boleh didapati dalam rencah kari ikan, ayam dan daging serta kambing.
Tidak dinafikan hidangan itu cukup menyelerakan, namun ada satu masa, Pak Leh mula berasa bosan dan menyifatkan kebanyakan kari seakan-akan sama walaupun dinikmati dari restoran atau gerai berbeza.
Sampailah dia menemui gerai-gerai di 'ceruk' Pulau Pinang yang menyajikan hidangan kari namun memiliki rasa sedikit unik berbanding yang pernah dijamah sebelum ini.
Dari situ, Pak Leh mula tahu ada hidangan kari terutamanya kari ikan dimasak dengan bunga kantan, daun kesum dan sebagainya bagi mencetuskan aroma serta rasa berbeza.
Bertitik tolak dari pengalaman itu, dia mengambil pendekatan untuk memperkenalkan pes rempah kari jenama Pak Leh bagi menawarkan rasa yang unik dan tersendiri kepada pelanggan.
“Untuk pes kari ikan, saya akan rekomen untuk letak bunga kantan dan daun kesum, tapi itu terpulang kepada cita rasa masing-masing.
“Ada yang suka tambah air asam jawa saja, ada yang letak santan bahkan tak dinafikan ramai juga yang ganti rasa lemak dengan guna susu cair, yogurt atau tairu.
“Bagi pes kari kambing pula, kalau tengok di pasaran semasa, tak banyak yang keluarkan produk tersebut jadi saya mahu tonjolkannya kepada umum sebab ramuannya berbeza daripada yang sedia ada,” katanya kepada Majoriti.
Senang bawa melancong
Bekas pensyarah di Kolej Kemahiran MARA itu juga turut memperkenalkan pes rempah kari kambing dan ayam serta daging ke dalam varieti produk yang diusahakan di bawah syarikat KPL Foods Sdn. Bhd yang beroperasi di Kuala Kangsar.
Selain pes rempah, Pak Leh yang berkecimpung dalam bidang pembuatan pes sejak 2018 turut memperkenalkan produk siap dimakan yang boleh didapati dalam pek mudah dibawa dan sedia dipanaskan.
Antaranya ialah hidangan nasi basmati dengan gulai ikan masin, ayam halia, kari kambing dan ayam, daging kicap manis, nasi goreng kampung dan kari vegetarian.
Makanan sedia dimakan keluaran Pak Leh mudah untuk dibawa kemana-mana.
"Untuk perasa ayam halia contohnya, saya dapatkan komen dan kritikan daripada rakan-rakan berbangsa Cina untuk hasilkan rasa yang 'ngam'.
"Tiga kali saya beri 'tester' kepada mereka barulah dapat rasa yang diinginkan," katanya yang mengakui akan turut terlibat dengan kerja-kerja memasak di dapur andai kekurangan tenaga pekerja.
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dia terfikir untuk menyediakan pek sedia dimakan bagi memperkenalkan cita rasa Malaysia ke luar negara.
Pemegang Ijazah Sarjana Pembuatan Termaju dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor itu turut mengambil kira trend kebanyakan rakyat Malaysia yang sibuk dan kekurangan masa untuk memasak.
Malah, makanan sedia dimakan juga boleh dibawa kemana-mana ketika melancong ke luar negara atau semasa mengikuti aktiviti riadah seperti berkhemah kerana ia didapati dalam travel pack dan sedia dipanaskan.
Tahan hingga dua tahun
Sementara itu, bercerita lanjut bagaimana mula berkecimpung dalam bidang perniagaan itu, Pak Leh berkata, dia pada mulanya buat secara suka-suka.
Tanpa meninggalkan tugasnya sebagai penjawat awam, Pak Leh sedikit demi sedikit memperkukuhkan bisnesnya sebelum mengambil keputusan bersara awal pada 2023.
Sifatnya yang sukakan cabaran membuatkan Pak Leh mahu terus serius dalam perniagaan yang diceburinya itu dengan mengguna pakai teknologi retort bagi memastikan produk makanan siap dimakan dan pes rempah kari tahan lama sehingga dua tahun.
Pak Leh (kiri) menerangkan produknya kepada pelanggan ketika mengikuti ekspo di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini.
“Pada awalnya saya mulakan dengan produk sejuk beku sebelum belajar mengenai ‘boiling’ dan kemudian beralih kepada teknologi retort untuk memanjangkan jangka hayat makanan siap dimasak tanpa penggunaan bahan pengawet.
"Kini produk ini ada shelf-life yang lebih lama dan boleh didapati di pasar raya terpilih,” katanya yang turut membuat penjualan secara dalam talian di platform Shopee dan TikTok Shop.
Mengakui perlu bersaing dengan banyak jenama besar, Pak Leh positif dan menyifatkan bisnes yang diceburi menjanjikan peluang yang besar.
“Bagi saya, masih ada peluang untuk bersaing kerana produk ini juga berkualiti dan tentunya memikat cita rasa kumpulan tertentu,” katanya yang menyifatkan isteri sebagai tulang belakang di sebalik pencapaiannya hari ini.
Memandang ke depan, Pak Leh kini merencana untuk mengadakan kerjasama dengan pihak penyedia penginapan bagi memasarkan produknya di lokasi seperti inap desa, Airbnb dan hotel.
“Kalau kita tengok, tempat-tempat penginapan seperti home stay kadang-kadang tidak menyediakan ruang memasak yang lengkap. Ada pun perkakas elektrik seperti ketuhar gelombang mikro, pemanas air atau cerek elektrik.
“Jadi tuan rumah boleh menyediakan hidangan sedia dimakan ini supaya tetamu mereka dapat menikmatinya,” ujarnya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram