Ibarat 'masuk hantu' jaga bonsai, dua sahabat dari Johor tuai rezeki 'emas hijau'


  • Bisnes
  • Rabu, 24 Sep 2025

Am (kanan) dan Faizal cukup meminati dan menghargai seni di sebalik tanaman bonsai.

TERIK matahari pada tengah hari itu tidak menghalang Mohd Faizal Haris, 42, daripada menyiram serta membelek bonsai kesayangan di tepi laman rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan.

Ratusan pokok pelbagai saiz memenuhi segenap kawasan lapang kediaman teres dua tingkat itu yang kini sudah dianggap seperti nurseri bonsai.

"Saya kenal bonsai daripada bapa yang juga meminati tanaman ini. Memang dari kecil dah tengok cara semai pokok ini jadi minat itu timbul secara semula jadi.

"Bahkan bonsai ayah saya juga ada dalam jagaan di nurseri ini bersama pokok-pokok lain," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Tinggalkan kerjaya 'oversea', bekas akauntan 'orang kuat' di sebalik gerai pan mee 'viral' TTDI

BACA LAGI: Kuantan lokasi pertama Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, tawar hadiah RM5,000 dan pakej percutian istimewa

Dawai aluminium yang bersesuaian digunakan bagi membentuk bonsai. 

Seni bonsai melonjakkan nilai pokok ficus.

Di Majestic Bonsai, Faizal mengusahakan pelbagai tanaman bersama rakannya, Amsarizan Amran, 41, yang turut memiliki minat sama.

"Pada awalnya, kami sekadar suka-suka kumpul pokok. Kami suka cari pokok-pokok liar di hutan dan kawasan pantai sebab ia cantik sebagai tanaman bonsai.

"Mula-mula ada dalam lima ke enam pokok sahaja. Kemudian kami mula semai sendiri, guna kaedah seperti tut (kaedah pembiakan vegetatif) dan lama-kelamaan, pokok semakin banyak," katanya.

Dari situ, dua sahabat dari Johor itu terfikir untuk menjual tanaman bonsai lagi-lagi apabila ada orang berminat membelinya.

"Masa tahun 2010, kami betul-betul fokus usahakan Majestic Bonsai secara bersama hingga ia berkembang menjadi apa yang kami usahakan hari ini," katanya.

Bonsai milik ayah Faizal yang masih dalam jagaannya di Majestic Bonsai. 

Menurut Amsarizan yang mesra dipanggil Am, bonsai boleh dihasilkan daripada apa-apa sahaja jenis pokok yang berbatang kayu sama ada pokok bunga mahupun pokok buah.

Katanya, bonsai bukan sekadar pokok sebaliknya satu seni yang memerlukan disiplin dan kesabaran yang tinggi kerana ia mengambil masa 15 hingga 20 tahun untuk matang sepenuhnya.

"Sebab itulah nilai pokok ini sangat tinggi hingga ada yang menyamakan bonsai dengan emas," tuturnya.

Bagi Am dan Faizal, tanaman bonsai memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menjaganya daripada serangan kulat.

Jelas Am, ada teknik khas yang perlu diketahui untuk membentuk bonsai termasuk penggunaan dawai aluminium bagi memintal batang dan dahan menjadi bentuk dikehendaki.

"Selain itu, bonsai juga meliputi penjagaan akar, penyiraman yang betul dan konsisten serta pemangkasan konsisten agar pokok sihat dan bentuknya terpelihara.

"Pokok pun ada ragamnya, ada jenis nak kena lebih air. Ada yang kurang air. Ada pula pokok yang tahan panas, ada yang tak tahan panas. Belum lagi penyakit masing-masing.

"Jadi sebab itulah bonsai memerlukan ketelitian dalam penjagaannya," kata Am.

Sebahagian bonsai berbentuk lebih kecil sesuai dijadikan tanaman hiasan dalam rumah.

Sementara itu, Faizal berkata, terdapat pelbagai gaya bonsai antaranya stail Cascade dengan bentuk pokok terjuntai ke bawah, diinspirasikan dari pokok-pokok tebing gunung selain stail formal yang pokoknya rendang merimbun dan tegak.

Antara spesies pokok yang paling sesuai dijadikan bonsai termasuk jeliti yang berbunga putih, kemuning, cucur atap (popular di Pantai Timur), mabar hitam dan ficus (bernilai tinggi dengan harga boleh mencecah RM8,000).

Saiznya pula tidak terhad memandangkan ia boleh didapati daripada bentuk mini atau XS hingga besar bermula dari harga RM90 hingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Ujar Faizal, mereka memasarkan bonsai secara online di platform seperti Carousell, Facebook, Mudah.my selain aktif melibatkan diri dalam aktiviti seperti event dan carboot sale.

"Kami juga akan buat servis penghantaran di sekitar Lembah Klang," katanya. 

Kehijauan tanaman bonsai menyuntik rasa tenang dan sesuai untuk terapi minda.

Menurut Faizal, bonsai adalah satu bentuk terapi minda yang membantu menenangkan fikiran dan merapatkan diri dengan alam semula jadi.

"Kami percaya, bonsai mengajar kita menghargai kebesaran ciptaan ALLAH," katanya.

Am pula berpendapat, bonsai mengajar erti disiplin dan kesabaran. 

"Bonsai ni ada 'time' dia yang tak boleh nak elak atau 'miss'. Dari jaga pokok, disiplin tu terbawa-bawa ke dalam hidup seharian.

Faizal menganggap tanaman bonsai memberikan ketenangan jiwa serta fikiran.

"Lepas tu, bila dah minat bonsai ni, orang kata macam 'masuk hantu' sebab kalau boleh setiap masa nak belek dan tengok pokok ni," katanya sambil berseloroh.

Mereka berharap dapat memiliki nurseri bonsai yang lebih luas dan strategik suatu hari nanti. 

"Walaupun cabarannya besar, kami percaya seni bonsai ini wajar terus dikembangkan bukan saja sebagai hobi, tapi juga sebagai warisan, seni dan terapi kehidupan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram