
PENGENDALIAN penyediaan makanan mestilah menitikberatkan soal kebersihan tidak kiralah perniagaan beroperasi di gerai tepi jalan, restoran mahupun hotel.
Perkara ini bagi mengelakkan insiden tak diingini seperti keracunan makanan dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Sebelum ini, kita pernah digemparkan dengan video tular penyediaan makanan menggunakan perkakas seperti tong sampah untuk menyimpan ayam percik, penyodok tanah (shell out) dan air balang akuarium.
BACA LAGI: Meriah di Bumi Kenyalang! Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia rai budaya dan destinasi terbaik negara
Tetapi kali ini tular pula video seorang peniaga nasi padang atau nasi kapau menggunakan sebuah bekas seperti baldi dipercayai tong cat untuk mengisi makanan siap dimasak.
Menerusi video itu, peniaga terbabit dilihat menyedok lauk gulai perut lembut daripada bekas tong cat sebelum dihidangkan di dalam dulang keluli tahan karat (tray stainless steel).
Lebih meloyakan, peniaga terbabit hanya meletakkan bekas cat berisi lauk siap dimasak itu di atas lantai tempat dia menjalankan perniagaannya.
Baldi berwarna merah yang digunakan bagi mengelakkan kuah gulai menitik juga dilihat tidak sesuai digunakan dalam pengendalian makanan.
Menerusi satu video lain pula, peniaga sama dipercayai menggunakan tong cat dan baldi sama untuk mengisi lauk gulai tambunsu atau usus lembu.
Selain itu, seorang peniaga lain turut dilihat menggunakan bekas tong cat untuk mengisi kupang yang belum dimasak.
Secara jelas label cat bertulis 'paint' masih kelihatan pada tong berwarna kelabu tersebut.
"Ada pula pakai bekas cat... kotor la," komen AnandeRajah Samboo.
"Tong plastik tu satu hal lah. Aku dulu pernah kerja katering. Peraturan utama dalam menguruskan makanan adalah jangan letak makanan atau bekas makanan directly atas lantai. Mesti pakai lapik.
"Masa aku kerja di kedai makanan segera pun peraturan dia sama..mesti lapik atau kedudukan makanan itu tinggi sikit dari lantai," komen Aqil Rahman.
Bagi Ali Ibrahim pula, dia menyifatkan bekas tong cat tidak sesuai dalam pengendalian makanan kerana mengandungi mikro plastik yang berbahaya.
"Cuba ganti dengan bekas keluli tahan karat atau tempayan tanah liat tradisional. Lebih bersih dan sihat serta rasanya juga pasti nikmat," katanya.
Berdasarkan semakan video di Food Warrior TV itu, kejadian terbabit dipercayai berlaku di Kramat Raya, Senen, Jakarta, Indonesia.
Kompas Megapolitan melaporkan kawasan Food Street Kramat itu menjadi tumpuan orang ramai kerana terdapat banyak gerai menjual masakan Minang.
Antara lauk yang boleh didapati termasuklah gulai tambusu, ayam pop, rendang dan sup iga (tulang rusuk lembu).
Diharapkan pelancong Malaysia yang gemar mencuba nasi padang dan nasi kapau di Jakarta lebih berhati-hati memilih makanan 'street food' dengan memastikan kebersihannya terjamin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram