Honda CRV lama ayah jadi kios jalanan, anak muda dari Denai Alam bina Ni. Kopi demi impian miliki kafe sendiri


  • Bisnes
  • Rabu, 23 Jul 2025

But kereta yang siap diubah suai menempatkan mesin kopi dan perkakasan lain untuk membuat minuman kafein kegemaran ramai itu.

SEBUAH kereta Honda CRV diparkir di tepi jalan sebuah kawasan perniagaan terbuka di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Di bahagian but kereta yang siap diubah suai kelihatan seorang lelaki bertopi dan memakai apron barista sibuk menyiapkan tempahan kopi pelanggan.

"Baru sebulan saya berniaga di sini. Alhamdulillah permintaan pelanggan baik dan rata-rata menggemari kopi dan matcha di sini," ujarnya.

BACA LAGI: Bukan takat dapat RM4,000 sebulan, penarik beca di Penang miliki waktu lebih fleksibel, lebih masa bersama keluarga

BACA LAGI: Berguru dengan Iron Chef Jepun di AS, lelaki asal Cheras buka FujiYama jual sushi fusion halal

Aiman mampu menjana pendapatan mencecah ratusan ringgit sehari menerusi penyertaan popup event.

Nik Aiman Hakimi Nik Ahmad Fadzil, 25, yang mengusahakan kopi jenama Ni.Kopi mengambil inisiatif untuk menjadikan hobi membuat minuman berkafein itu sebagai pendapatan sampingan.

Sebagai pencinta kopi, perunding syarikat pengilang peralatan asal (OEM) yang mesra disapa Aiman, sebelum ini hanya membuat minuman berkafein itu di rumah.

Hanya selepas Syawal kedua lalu, Aiman tergerak untuk memenuhi permintaan seorang kenalan yang meminta dia membuat kopi di sebuah majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Dengan bermodalkan RM2,000, dia membeli mesin kopi terpakai untuk memenuhi tempahan kira-kira 200 hingga 300 cawan kopi bagi majlis berkenaan.

Tanpa disangka, ia menjadi titik mula buat graduan jurusan Sains Komputer Universiti Teknologi MARA itu untuk meneroka bisnes kopi secara lebih meluas.

"Saya sertai pop-up event selepas mendapat rekomendasi daripada rakan-rakan barista.

"Banyak yang saya belajar daripada pengalaman menyertai acara-acara sedemikian," katanya kepada Majoriti.

Cerita Aiman, antara pengalaman mencabar buat peniaga kopi kecil-kecilan sepertinya ialah apabila dia perlu memenuhi satu slot vendor kopi pada saat-saat akhir di sebuah acara pickleball antarabangsa pada Mei lalu.

"Melalui rangkaian kenalan, saya diminta untuk menghantar sampel kopi untuk dirasai oleh lembaga pengarah acara itu.

"Saya beri beberapa minuman best-seller seperti cafe latte, hazelnut dan caramel latte kepada mereka dan tak sangka dapat persetujuan untuk jadi pengganti vendor.

"Sebab last minute, saya kena call kedai yang dah tutup untuk minta mereka jual lima ke enam karton susu kepada saya. Saya hubungi kawan-kawan barista tanya ada cawan lebih tak untuk katering 2,000 orang.

"Malam yang sama juga, saya kena bergegas pergi set-up meja di acara berkenaan.

"Saya hampir kena reject kerana menggunakan meja yang tidak menepati standard, tetapi saya jelaskan bahawa ia hanya kegunaan hari pertama dan akan diganti dengan kios lebih sesuai keesokan harinya.

"Kios pun saya beli yang second-hand tapi masih okey," tutur Aiman panjang lebar sambil memberitahu, acara selama sebulan itu menjana pendapatan RM15,000 buatnya.

Cabaran yang berjaya ditempuhi dengan baik ternyata menjadi suntikan motivasi buat anak sulung daripada enam beradik itu untuk terus maju bergerak ke depan.

Kereta Honda CRV milik tahun 1999 milik ayahnya dijadikan 'tapak' niaga sementara sebelum dia boleh memenuhi cita-cita menguruskan kafe sendiri suatu hari nanti.

Selain kopi, terdapat juga pilihan 'non-coffee' seperti sparkling ribena dan matcha yang dijual di gerainya yang diubah suai daripada kereta Honda CRV tahun 1999.

Bermula hanya dengan tiga menu kopi, Aiman mempelbagaikan varieti dengan belajar membuat Spanish latte yang menjadi kegemaran ramai dan matcha latte yang pembuatannya lebih tradisional.

"Untuk kopi saya guna single origin dari Brazil sebab kualitinya lebih baik. Pernah sebelum ini saya pakai kopi dari Indonesia kerana harga lebih murah, cuma rasanya agak kuat.

"Apabila saya tukar, saya dapat lihat lonjakan pada jualan," katanya yang menganggap dirinya tidak bersaing dengan mana-mana jenama kopi komersial.

Ini kerana, menurut Aiman, kekuatan jenama Ni.Kopi terletak pada sentuhan peribadi yang lebih mendekatkan diri dengan pelanggan.

“Nilai tambah saya mungkin pada layanan mesra dengan pelanggan. Itu buat mereka rasa dihargai,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai cabaran, Aiman mengakui terkadang berasa penat kerana perlu menguruskan dua kerja, tambahan lagi jika perlu berdepan cabaran-cabaran tertentu.

"Namun saya masih bersyukur kerana kerja fleksibel jadi boleh uruskan masa dengan baik.

"Tambahan lagi, saya masih muda, jadi saya mahu kejar lifelong dream untuk memiliki kedai kopi sendiri," katanya yang menggemari budaya kopi di Indonesia yang mana mereka cukup menghargai kopi lokal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram