
GEJALA penipuan atas talian atau lebih dikenali sebagai 'scammer' sememangnya merisaukan kebelakangan ini kerana boleh menyebabkan mangsa mengalami kerugian hingga ribuan ringgit.
Jenayah tersebut kelihatan semakin terbuka apabila baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya hampir menjadi mangsa terbaru selepas sekumpulan individu menyamar sebagai pihak bank menyatakan terdapat tunggakan bayaran kereta miliknya.
Insiden itu dikongsikan menerusi akaun Facebook Teratak Singgah Pura memaparkan kenderaannya dikerumuni beberapa orang lelaki ketika sedang diparkir di bahu jalan.
BACA LAGI: Ramai pernah kena! Ini tip penting jika jadi mangsa scammer, kecurian identiti kad kredit
BACA LAGI: Lelaki dakwa rugi RM1,400 demi adik akibat diperdaya scammer rumah sewa
Malah, salah seorang dari 'scammer' itu menyatakan dirinya merupakan wakil bank dengan memakai lanyard sebagai tanda pengenalan untuk mengelirukan mangsa.
Helah tersebut bagaimanapun gagal mengelirukan pemilik Facebook terbabit yang merekodkan insiden terbabit dengan harapan pengguna jalan raya lain tidak terpedaya.
"Tiba-tiba ada yang ketuk cermin kereta, ingatkan mahu minta derma dan seperti kebiasaan, saya buku suku sahaja tingkap. Dia menjelaskan bahawa dirinya merupakan wakil dari bank dan mendapati terdapat tunggakan bayaran kereta selama lima bulan.
"Apabila saya dengar sahaja ada tunggakan itu, saya dah boleh agak ini rasanya 'scammer najis' yang selalu orang tularkan di media sosial ni," katanya.
Penipu berkenaan berbuat demikian untuk mengugut pemilik kenderaan yang akan bersikap cemas.
Taktik penipuan itu tidak berjaya kerana pemilik kenderaan terbabit menyatakan kereta tersebut dibeli secara tunai, sekali gus menepis dakwaan kononnya terdapat tunggakan bayaran.
Kenyataan terbabit membuatkan penipu berkenaan mula gusar kerana helah itu tidak berjaya sebelum individu tersebut beredar dengan alasan mahu menghubungi pihak bank secara terus.
Bagaimanapun, pemandu terbabit masih risau akan cubaan memperdayakan berkenaan kerana aplikasi ditunjukkan mengandungi maklumat lengkap mengenai kereta dinaikinya.
Helah tersebut sememangnya mengejutkan, lebih-lebih lagi terhadap golongan berusia yang menjadi sasaran mudah untuk diperdayakan jika tidak diberikan penjelasan mengenai taktik berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram