
NIAT seorang lelaki untuk membantu adiknya dan rakan-rakan mencari rumah sewa baharu berakhir dengan kerugian RM1,400 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pemilik rumah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut perkongsian, @fazeeeeeem di laman X (Twitter), dia memaklumkan menemui iklan sebuah unit kediaman menarik untuk disewa di laman sesawang M***h.
Katanya, unit tersebut kelihatan bersih, berada di lokasi yang baik dan ditawarkan pada harga berpatutan.
BACA LAGI: Remaja OKU dituduh bunuh warga emas guna cota tepi kedai runcit di Tanah Merah
Mangsa kemudian menghubungi individu yang menyenaraikan unit berkenaan pada 16 Jun 2025 sebelum menetapkan sesi lawatan pada 18 Jun pukul 8 malam di Cheras bersama adiknya dan beberapa rakan.
"Saya hanya ingin bantu adik dan kawan-kawannya cari tempat tinggal yang selamat. Tapi akhirnya saya pula yang ditipu," katanya dalam hantaran yang tular pada Isnin.
Menurut mangsa, suspek yang dipercayai seorang lelaki tempatan bertindak licik dengan menyamar sebagai pemilik unit rumah.
Jelasya lagi, lelaki yang dikenali sebagai M******d G*******n itu memperkenalkan diri dengan penuh yakin, serta memberikan salinan kad pengenalan dan perjanjian sewaan terdahulu sebagai bukti pemilikan.
"Saya percaya kerana cara dia bercakap memang meyakinkan. Pada 19 Jun, saya buat bayaran tempahan (deposit) RM1,400 dan dia sahkan penerimaan," katanya.
i got scammed RM1,400 while trying to rent a place in KL for my sister & her friends.
their dorm contract ends soon so i wanted to help them settle somewhere safe.
please read this thread, i don’t want anyone else to go through this.pic.twitter.com/BXADs5AduN
— fazeem (@fazeeeeeem) June 30, 2025
Pada 21 Jun, individu tersebut menghantar perjanjian sewaan kepada mangsa yang kemudiannya ditandatangani dan dipulangkan pada 23 Jun.
Invidu berkenaan juga berjanji akan menyerahkan kunci pada 26 atau 27 Jun.
Namun, pada 24 Jun, suspek tiba-tiba meminta bayaran tambahan sebanyak RM2,200 dan menyatakan baki RM1,400 boleh dijelaskan pada Julai.
"Saya cakap akan bayar selepas dapat kunci, dan dia bersetuju. Tapi bila saya hubungi dia pada 28 Jun, mesej hanya satu 'tick', panggilan masuk peti suara, dan akaun WhatsApp dia hilang," katanya.
Lebih menyedihkan, menurut @fazeeeeeem, dia gagal mendapatkan kembali duitnya itu dan telah membuat laporan polis serta semua bukti telah diserahkan.
Dia berharap perkongsian tersebut dapat memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan penipuan seumpama itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna X, @NasrulZahudin, tampil mengesahkan bahawa dia juga pernah menjadi mangsa lelaki yang sama pada tahun 2019.
"Saya pun pernah kena. Kes saya dari 2019 pun masih tak selesai. Ramai dah jadi mangsa dia. Memang licik, pandai ambil kepercayaan mangsa," katanya.
Kedua-dua mangsa berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dan menyeru orang ramai agar menyemak latar belakang pemilik rumah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bayaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram