
KEMENANGAN selesa 4-2 ke atas Tampines Rovers dalam aksi kedua Piala Shopee 2025/26 belum memuaskan hati penyokong Selangor FC yang masih mengharapkan konsistensi dalam pasukan.
Mereka yang hanya menduduki tangga kelima Liga Super selepas mencatatkan dua kemenangan dan tiga kekalahan belum boleh dikatakan pencabar serius musim ini.
Selain itu, masalah besar turut timbul di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two keranan keputusan mengecewakan ketika berdepan Bangkok United seakan-akan menutup pintu kemaraan buat pasukan.
BACA LAGI: Terus tumpul depan gol, sampai bila pertahanan Selangor harus ‘ikat jamin’ Willian Lira?
Perancangan kurang teliti membuatkan skuad Gergasi Merah bergelut setakat ini. — Facebook/Selangor FC
Pelbagai juga keresahan dalam pasukan sering disuarakan peminat berhubung kualiti pemain, terutamanya import dibawa masuk ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi serta barisan pengurusan.
Nama-nama seperti Zach Clough dan Willian Lira menjadi sasaran utama penyokong memandangkan setiap kali diturunkan, mereka gagal membawa impak meskipun berpengalaman di luar negara.
Bagaimanapun, sedar atau tidak bahawa kebelakangan ini, nama Willian Lira tidak lagi tersenarai dalam pasukan dengan kelibatnya juga tidak lagi kelihatan di padang latihan.
Kali terakhir penyerang dari Brazil itu berada dalam pasukan adalah semasa dimasukkan pada babak kedua permainan ketika Selangor FC berdepan Terengganu FC.
Wliian Lira (kanan) tidak lagi berada dalam pasukan selepas kali terakhir beraksi menentang Terengganu FC. — Facebook/Selangor FC
Sejak itu, namanya tidak lagi muncul di bangku simpanan dengan peranan utama penyerang mula dipikul sepenuhnya rakan senegara, Chrigor Moraes yang kian mendapat rentak.
Kehilangannya juga tidaklah diratapi penyokong, malah ada yang lebih berpuas hati memandangkan mereka berpeluang menyaksikan Chrigor secara kerap mengemudi barisan hadapan.
Manakan tidak, dalam empat perlawanan bersama Selangor FC, Willian Lira gagal menjaringkan sebarang gol mahupun mencipta jaringan meskipun pernah beberapa kali mencipta peluang.
Gaya permainannya juga kerap kali menimbulkan rasa kurang senang memandangkan rakan sepasukan perlu mencipta ruang buatnya dengan hal itu hanya membawa beban besar terhadap gerakan serangan.
Ketajaman Chrigor membuatkan kehilangan Lira sangat tidak dirasakan. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, kehadirannya masih diperlukan kerana kebergantungan besar terhadap Chrigor akan memberi kesan jangka masa panjang memandangkan penyerang utama Gergasi Merah itu masih perlu direhatkan.
Ketiadaannya dalam pasukan tidak pernah dibincangkan Kinoshi dengan perkembangan terkini berhubung pemain itu hanya dikongsikan Fina Nasrom sebelum aksi berdepan Bangkok United yang menyatakan Lira mengalami kecederaan lutut.
Sekiranya perkongsian itu tepat, ia merupakan satu alasan kukuh di sebalik penggugurannya dari pasukan kerana pihak pengurusan juga terus berdiam diri mengenai statusnya.
Bagaimanapun, tidak mustahil jika perkembangan itu hanyalah satu helah untuk Selangor FC menamatkan kontraknya lebih awal kerana berkemungkinan mereka turut sama kurang berpuas hati akan impaknya dalam pasukan.
Jika perasaan berkenaan dikongsikan, ini sekali gus meletakkan titik noktah awal terhadap karier penyerang itu bersama skuad Gergasi Merah selepas baru sahaja menyarung jersi pasukan pada jendela perpindahan lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram