[VIDEO] Skil tipu baki tak menjadi, taktik cuba perdaya penjaga kedai runcit 'makan diri'


  • Tular
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki cuba memperdayakan penjaga kaunter pembayaran di sebuah kedai dengan mendakwa baki wang yang diterimanya tidak mencukupi.

TULAR di media sosial rakaman video memaparkan gelagat seorang lelaki yang dipercayai cuba memperdayakan penjaga kaunter pembayaran di sebuah kedai dengan mendakwa baki wangnya tidak mencukupi. 

Video berdurasi dua minit yang dikongsi di laman Facebook milik Penang Kini menarik perhatian ramai selepas memaparkan tindakan licik seorang lelaki yang akhirnya terbongkar dengan taktiknya sendiri.

Kejadian yang lokasi sebenarnya belum dikenal pasti itu dikatakan berlaku selepas seorang lelaki membeli barangan bernilai RM11.50 dan membuat pembayaran menggunakan wang tunai RM100.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Tolong buat sesuatu YB’, Baddrol Bakhtiar harapan rakyat selamatkan bola sepak Kedah

BACA LAGI: Kisah berbeza 2 bintang ‘terperap’ JDT, seorang bergelut seorang lagi terus konsisten

Bagaimanapun, sebaik penjaga kaunter sedang mengira baki, lelaki itu kelihatan sibuk menjawab panggilan telefon sambil kembali mencari barangan lain.

Tidak lama kemudian, dia datang semula ke kaunter untuk mengambil baki sambil memegang barangan yang telah dibayar.

Namun, dalam situasi tersebut, berlaku insiden pelik yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis.

"Tangan kanan pegang barang dan baki, tangan kiri pula campak duit RM50 ke lantai," kata kapsyen hantaran berkenaan.

Menurut video tersebut, penjaga kaunter telah pun menyerahkan baki yang betul iaitu RM88.50, namun lelaki itu secara senyap-senyap membuang sekeping wang RM50 ke lantai sebelum berpura-pura mendakwa dia hanya menerima RM38.50.

Tindakannya itu dipercayai bertujuan untuk menuntut baki tambahan RM50 daripada penjaga kaunter.

Bagaimanapun, cubaan tersebut tidak berhasil apabila penjaga mesin wang menyedari helah tersebut dan terus mengambil semula wang RM50 yang dibuang itu.

Menyedari taktiknya telah dikesan, lelaki berkenaan kemudiannya meminta kembali wang RM100 miliknya dan memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian lalu beredar dari kedai tersebut.

Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki tersebut yang disifatkan tidak beretika dan cuba mengambil kesempatan terhadap pekerja kedai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram