
SIKAP terlalu pemurah tanpa usul periksa boleh mengundang padah apabila tular satu video di media sosial mendakwa seorang warga asing dari Bangladesh menyalahgunakan nama masjid bagi mengutip derma di Malaysia.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik oleh pengguna X, UpdateInfo, lelaki berkenaan dipercayai mendekati orang ramai dengan alasan kononnya mengutip sumbangan untuk sebuah masjid di Bangladesh.
Di sebalik cerita penuh simpati berkenaan, dakwaan menyebut kutipan derma tersebut difahamkan tidak pernah disalurkan ke masjid, sebaliknya masuk ke akaun peribadi lelaki itu.
BACA LAGI: Wanita warga asing terus jejaki keluarga angkat di Kota Bharu, lebih 5 dekad terpisah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Rakyat Malaysia sensitif', ramai gesa senarai hitam peniaga runcit guna pekerja warga asing
Lebih mengejutkan, perkongsian video berdurasi 56 saat itu turut mendakwa, pada 18 Ogos lalu, individu sama sudah menghantar wang berjumlah RM60,000 ke akaun peribadinya.
Terkini, lelaki warga Bangladesh itu juga didakwa masih menyimpan hampir RM10,000 hasil kutipan daripada rakyat Malaysia yang bersimpati.
"Peminta sedekah dari Bangladesh. Datang dekat Malaysia minta derma untuk masjid dekat Bangladesh. Ini tipu punya. Rakyat Malaysia tolong lah jangan jadi pemurah hati sangat. Bulan lepas 18 Ogos dia dah hantar RM60,000 dekat akaun peribadi, bukan akaun masjid punya.
"Sekarang duit dekat tangan pula dekat RM10,000. Rakyat Malaysia banyak pemurah, jangan jadi bebal sangat rakyat Malaysia. Tolonglah. Jangan bagi muka," kata UpdateInfo dalam videonya yang kini mendapat perhatian ramai.
Tangkap layar video pendedahan lelaki dakwa warga asing dari Bangladesh menyalahgunakan nama masjid bagi mengutip derma di Malaysia.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu nyata mengundang rasa marah warganet dengan rata-rata mengecam perbuatan memperalatkan nama institusi agama semata-mata untuk mengaut keuntungan peribadi.
Bukan itu sahaja, terdapat juga warganet yang menyifatkan sikap terlalu mudah percaya dan murah hati sebahagian rakyat Malaysia menjadi punca kegiatan itu terus berleluasa.
Dalam masa sama, warganet turut menyeru pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket atau individu yang menjadikan alasan 'derma masjid' sebagai helah mencari keuntungan.
Mereka bimbang jika keadaan ini berlarutan, ia akan merosakkan imej sebenar kerja-kerja amal dan menjejaskan keyakinan orang ramai untuk terus menyumbang kepada saluran yang sah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram