[VIDEO] Demi bebaskan sukarelawan Malaysia, Anwar hubungi 4 pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara AS


  • Massa
  • Khamis, 02 Okt 2025

Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam masa terdekat bagi mendapatkan dukungan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel.

DEMI mendesak pembebasan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Israel, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau telah menghubungi empat pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, perbincangan turut diadakan bersama Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi mendapatkan dukungan serta campur tangan segera.

“Setakat petang ini, saya telah berbincang dengan Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar untuk mendapatkan sokongan mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia.

BACA LAGI: 'IC merah tak dibenarkan isi RON95', pelaksanaan BUDI95 bukti hanya warganegara layak harga petrol bersubsidi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau nampak nama Muhammad, saya lega', pelawak Australia pilih pemandu e-hailing Muslim sebab sifat sabar, tenang

“Saya dan pasukan juga berhubung rapat dengan Setiausaha Negara AS bagi menuntut tindakan segera tanpa kelewatan,” katanya menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook pada Khamis.

Anwar menegaskan, tindakan rejim Zionis menahan aktivis antarabangsa serta menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza jelas membuktikan keruntuhan nilai kemanusiaan.

Beliau menambah, Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat negara ini diinjak.

“Apa yang didakwa sebagai ‘kesalahan’ mereka hanyalah kerana membantu golongan lemah, kelaparan, sakit termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Kalau itu pun dihalang, maka nilai kemanusiaan kita langsung tidak berharga. Saya berdoa agar kezaliman rejim Israel segera dihentikan, rakyat kita dibebaskan, dan saluran bantuan ke Gaza serta Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram