
“SAYA hanya mahu keadilan dan hak kawan saya. Isu gaji bukan perkara main-main kerana ia adalah hak pekerja,” demikian tegas seorang gadis berhubung insiden tular membabitkan pekerja sebuah kedai premis makanan di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurut gadis terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Marissa, kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu ketika kedai berkenaan mula dibuka seperti biasa.
Sebelum itu, dia mendakwa rakan lelakinya, Anan sudah menghubungi majikan untuk menuntut gaji bagi tempoh dua minggu bekerja namun pembayaran tetap ditangguhkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
BACA LAGI: [VIDEO] Anak kena tukul penagih dadah marah-marah di Bachok makin kritikal, bapa harap ‘keajaiban’
“Anan sudah bekerja lebih setahun sejak tahun lepas, tetapi masalah gaji sering berulang.
"Majikan memberi alasan membayar gaji lambat dan suka melengah-lengahkannya,” dakwanya ketika dihubungi Majoriti
Dia mendakwa, ketika kedai dibuka, suami kepada majikan tiba-tiba datang lalu memarahi serta menuduh pekerja terbabit tidak menjalankan kerja dengan baik.
“Sedangkan pekerja hanya seorang dan dia melakukan semua kerja. Jadi tuduhan itu memang tidak logik,” jelasnya.
Bagaimanapun, gadis tersebut tidak menyalahkan majikan rakannya itu seratus peratus kerana wanita yang mesra dipanggil Umi itu sebenarnya seorang majikan yang baik serta tidak pernah berkasar bahasa dengan pekerja.
“Umi seorang yang baik, sentiasa berlembut dengan pekerja. Cuma pada malam kejadian saya sendiri tidak tahu mengapa suaminya bertindak sedemikian,” katanya.
Mengulas tuduhan kononnya dia masuk campur kerana mahu membela teman lelaki yang bekerja di kedai tersebut, wanita berkenaan menafikan perkara itu.
“Itu tidak benar. Saya hanya merakam, bersuara dan menularkan kejadian itu kerana rakan saya tidak tahu hendak berbuat apa.
"Saya kenal mereka (majikan) dan pernah beberapa kali bertemu, malah pernah membantu mereka,” katanya.
Katanya lagi, tindakan merakam dan menularkan insiden itu dilakukan semata-mata kerana mahu menegakkan hak pekerja yang bersikap terlalu berlembut setiap kali meminta gaji.
“Semasa kejadian dirakam, keluarga saya juga ada bersama. Jadi tuduhan yang dilemparkan orang awam kata saya 'back up' teman lelaki adalah tidak benar,” tegasnya.
Ditanya sama ada majikan telah membayar gaji selepas isu tersebut menjadi tular, gadis berkenaan perkara tersebut sudah diselesaikan namun masih ada gaji lampau yang tertunggak.
Terdahulu, Majoriti melaporkan tular satu video seorang lelaki dipercayai pemilik kedai makan yang didakwa gagal membayar gaji pekerjanya mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pemilik kedai makanan terbabit mahupun pihak berkuasa.
Orang ramai yang berdepan isu serupa dinasihatkan untuk mengemukakan aduan bertulis kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melalui e-mel [email protected], melawat pejabat JTK terdekat atau menghubungi 03-8000 8000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram