
SEORANG warga asing dilaporkan gagal membeli petrol RON95 selepas diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika pelaksanaan sepenuhnya program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), pada Selasa.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna X, Nor Azam Budin, yang menyaksikan sendiri kejadian berkenaan di sebuah stesen minyak.
Menurutnya, pekerja stesen meminta individu tersebut mengemukakan kad pengenalan sebelum dibenarkan mengisi minyak.
BACA LAGI: Ingatkan tak dapat subsidi BUDI95, majoriti pengguna hanya perasan perbezaan harga di resit
BACA LAGI: Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99
“Tadi ada warga Indonesia nak isi RON95. Staff Petronas suruh tunjuk IC (MyKad) dulu, dia tunjuk IC merah. Jadi memang tak bagi la,” tulisnya di laman X peribadi miliknya pada Selasa.
Namun, menurut Azam lelaki berkenaan dilaporkan tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut.
“Saya sudah 40 tahun dekat sini, takkan tak boleh,” katanya.
Hari ni dapat tengok keberkesanan BUDI95 LIVE. Tadi ada warga indonesia nak pump ron 95. So staff petronas suruh tunjuk IC dlu, dia tunjuk IC merah.
So, staff petronas tak bagi la.
Ayat dia,
“Saya sudah 40 tahun dekat sini, takkan tak boleh”
40 tahun nikmati subsidi minyak pic.twitter.com/gQY57CSaWZ
— Nor Azam Budin (@norazambudin) September 30, 2025
Nor Azam berkata, situasi itu jelas menunjukkan keberkesanan sistem kawalan subsidi BUDI95 yang memastikan hanya warganegara Malaysia layak menikmati harga petrol bersubsidi.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial menggunakan nama akaun @meelothiault turut berkongsi pengalaman hampir sama.
“Pagi tadi pun nampak seorang warga asing cuba nak isi minyak subsidi. Cashier cakap harga subsidi hanya untuk rakyat Malaysia yang ada IC biru (MyKad).
"Tiba-tiba rasa bersyukur sekejap jadi warganegara,” tulisnya.
Dalam perkembangan lain, media melaporkan Hampir 900,000 warga asing di negara ini yang memegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kini tidak lagi dapat menikmati subsidi petrol RON95, selepas pelaksanaan sepenuhnya BUDI95 bermula Selasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan pemegang LLM bertaraf bukan warganegara berjumlah 878,279 orang termasuk 18,710 yang mempunyai taraf penduduk tetap.
“Mereka ini layak memohon lesen memandu tetapi bukan bertaraf warganegara. Kumpulan ini tidak akan layak mendapat subsidi minyak.
“Ini bermakna, selama ini kerajaan kita memberikan subsidi kepada hampir 900,000 orang warga asing, yang sudah tentu mempunyai lesen memandu dan membeli kereta di Malaysia. Mereka juga dapat subsidi.
“Itu sebabnya, dasar kita melalui BUDI95 ini bersasar. Kita hanya akan beri kepada warganegara Malaysia.
“Bagi yang bukan warganegara, mereka perlu membayar RM2.60 (harga tanpa subsidi) dan daripada itulah, kita akan jimat berbilion ringgit,” katanya pada Selasa.
Untuk makluman, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram