[VIDEO] Jeritan pemandu selamatkan orang ramai 'ditelan' tanah runtuh di Vietnam


  • Benua
  • Selasa, 30 Sep 2025

Vietnam kini sedang dilanda Taufan Bualoi, yang membawa hujan lebat, angin kencang dan banjir melampau ke bahagian utara dan tengah negara berkenaan.

DETIK cemas dialami orang awam apabila tanah runtuh berlaku di kawasan pergunungan Lao Cai, Vietnam sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dari kenderaan masing-masing pada Ahad lalu.

Menerusi rakaman video tular di media sosial, kelihatan seorang lelaki menjerit memberi amaran kepada pemandu dan penumpang kenderaan berhampiran supaya segera keluar dan berlindung di rumah berdekatan.

Tidak lama selepas itu, longgokan tanah dan lumpur jatuh dari atas bukit lalu menutupi jalan raya serta menghempap beberapa kenderaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lori 'terbang' tanpa pemandu, bayi maut, 8 parah nahas 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

 

 

 

 

Mangsa, Nguyen Van Quan, yang juga saksi kejadian berkata, insiden berlaku sekitar pukul 7.30 malam ketika beliau melalui Lebuhraya 4D dari Than Uyen menuju ke Lao Cai.

“Ketika tiba di kawasan O Quy Ho, jalan ditutup beberapa kilometer kerana runtuhan. Saya keluar dari kereta untuk melihat keadaan sebelum terdengar bunyi dentuman dari atas bukit.

“Menyedari tanah runtuh bakal berlaku, saya menjerit meminta orang ramai keluar dari kereta dan lari ke rumah berhampiran.

"Hanya beberapa saat kemudian, tanah bercampur batu jatuh menutupi jalan,” katanya ketika ditemu bual wartawan pada Isnin.

Quan turut mengalami kecederaan ringan di belakang badan dan tangan akibat terkena hentaman ketika melarikan diri.

Malah, bahagian hadapan kereta Quan bersama beberapa kenderaan lain turut rosak, namun pemandu mereka dapat meneruskan perjalanan pada malam sama selepas keadaan kembali reda.

Sementara itu, penduduk tempatan, Thanh Van berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi bising lalu bergegas keluar rumah.

“Jalan di depan rumah sudah dipenuhi lumpur tebal dan batu berselerakan. Beberapa kereta rosak teruk dengan cermin pecah.

"Penduduk di kawasan ini kemudian masak mi segera dan sediakan air bersih untuk mangsa makan serta membersihkan diri.

“Sebahagian besar kenderaan sudah dialihkan, hanya tinggal dua hingga tiga buah kereta yang mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Ketika ini, Vietnam sedang dilanda Taufan Bualoi, yang membawa hujan lebat, angin kencang dan banjir melampau ke bahagian utara dan tengah negara berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram