‘Malapetaka menanti Sabah FC jika masih kekal dengan strategi lapuk berdepan Kuching City’


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Sabah FC (kiri) dijadualkan berdepan Kuching City FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat.

 

 

SUASANA derby Borneo kembali hangat apabila Sabah FC dijadualkan berdepan Kuching City FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat.

Pertemuan yang sentiasa dinanti penyokong kedua-dua pasukan itu bukan sekadar soal tiga mata, sebaliknya turut membawa aura maruah dan harga diri bola sepak serumpun.

Sebagai anak Sabah, sudah tentu saya ingin melihat kemenangan berada di tangan Sang Badak, namun melihat apa yang terjadi pada pasukan kendalian Jean-Paul de Marigny pada ketika ini sepertinya harapan saya itu ibarat telur di hujung tanduk.

BACA LAGI: Skuad Sumandak tunjuk belang, The Rhinos 'hilang tanduk' tanpa Kim Swee

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

Kuching City kini dilihat berada di landasan untuk menjadi antara kuasa besar baharu bola sepak Malaysia.

Manakan tidak, Sabah yang dibimbing jurulatih Australia itu berdepan laluan berliku selepas beberapa siri keputusan tidak menentu kebelakangan ini.

Walaupun memiliki pemain yang cukup berbisa, Sabah masih belum ada lagi rekod kemenangan dan berada di tangga ke sepuluh carta Liga Super.

Pendapat saya, Sabah FC terlalu bergantung kepada corak permainan yang mudah dibaca lawan.

Taktikal lapuk yang tidak banyak berubah sering mengundang padah, apatah lagi apabila benteng pertahanan Sabah kerap bocor akibat kelekaan sendiri.

Sebaliknya, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu tampil lebih garang musim ini dengan corak permainan agresif yang kerap memerangkap lawan.

Rekod semasa jelas menunjukkan mereka bukan lagi pasukan belasahan, malah memiliki semangat juang tinggi yang membuatkan setiap lawan terpaksa bekerja keras sebelum mampu meraih kemenangan.

Dominic (Kiri) dan Fergus Tierney mempunyai pengalaman berdepan dengan kelab-kelab yang lebih besar ysng sepatutnya memberi kelebihan pada Sabah FC.

Bagi memastikan Sabah mampu menundukkan 'kucing' jiran yang semakin garang itu, beberapa perkara utama perlu diberi perhatian oleh barisan kejurulatihan dan pemain.

Pertama sekali, benteng pertahanan Sabah mesti lebih ampuh. Kesilapan mudah, khususnya ketika situasi bola mati, kerap mengundang padah dan ia tidak boleh berulang dalam perlawanan penuh prestij ini.

Selain itu, Sabah wajib menggunakan sepenuhnya kelebihan menggunakan pemain kebangsaan yang sedia ada seperti Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Fergus Tierney.

Mereka mempunyai pengalaman berdepan dengan kelab-kelab yang lebih besar dan sudah tentu ada taktikal sendiri yang boleh digunakan bila berdepan dengan Kuching City.

Kepantasan di bahagian sayap juga harus diperbaiki, pemain-pemain seperti Farhan Roslan dan rakan seposisi mampu memecahkan blok pertahanan kental The Cats jika bijak menggunakan ruang.

Miguel Cifuentes (kiri) dan Ajdin Mujagic perlu berusaha lebih keras ketika perlawanan bertemu skuad The Cats nanti.

Corak permainan menyerang dari sisi mampu membuka ruang buat penyerang import utama, Ajdin Mujagic dan Miguel Cifuentes untuk menoktahkan peluang.

Sudah lima perlawanan, pemain import yang dibawa masuk musim ini diharap bukan sekadar menjadi pengisi kuota, sebaliknya benar-benar memberi impak besar di atas padang.

Pemain seperti Ajdin Mujagic, Dean Pelekanos dan Dane Ingham perlu menunjukkan nilai pelaburan yang telah dibuat pengurusan pasukan, terutama dalam perlawanan besar yang melibatkan soal maruah.

Ketajaman penyudah di depan gawang juga menjadi kunci utama. Sabah tidak boleh mensia-siakan setiap peluang kerana The Cats terkenal sebagai pasukan yang sukar ditewaskan apabila sudah mendahului perlawanan.

Gol awal mampu memberikan kelebihan psikologi besar buat Sang Badak. Di bahagian tengah, kehadiran pemain berpengalaman seperti Stuart Wilkin dan Gabriel Perez amat penting.

Menguasai tengah padang akan menjadi asas kepada gerakan serangan yang lebih teratur.

Mentaliti juga akan memainkan peranan besar. Derby Borneo sentiasa penuh dengan emosi, provokasi dan tekanan tinggi daripada penyokong. — Majoriti

Adrian Maximus merupakan peminat tegar bola sepak Liga Malaysia terutamanya skuad Sabah yang berasal dari Ranau, Sabah

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram