Skandal pemain warisan: JDT kecewa kesilapan teknikal, harap isu selesai segera


  • Podium
  • Selasa, 30 Sep 2025

Tiga pemain warisan yang mewakili skuad Harimau Selatan tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan FIFA.

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) melahirkan rasa kecewa susulan kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengakibatkan penggantungan tiga pemain kebangsaan yang kini beraksi bersama pasukan Harimau Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, situasi itu memberi kesan besar kepada skuad kendalian Hector Bidoglio, lebih-lebih lagi menjelang aksi penting Liga Malaysia.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera agar pemain yang terbabit dapat kembali bersama pasukan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI : Tiga pemain JDT dilarang beraksi sepanjang tempoh penggantungan FIFA — MFL

BACA LAGI : Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA

Kesilapan teknikal tersebut kini sedang diteliti bagi memastikan ia tidak berulang dan JDT optimis penyelesaian akan dicapai segera.

Terdahulu media melaporkan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa tiga pemain JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia selepas digantung selama 12 bulan oleh FIFA.

MFL berkata, pengesahan itu dibuat selepas menerima makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan badan induk dunia tersebut yang turut membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

"MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA.

“Berdasarkan keputusan FIFA, tiga pemain JDT berkenaan tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.

“Tindakan susulan hanya akan diambil MFL selepas keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan trio skuad Harimau Selatan berkenaan mengikut jejak pemain warisan lain iaitu Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces yang tidak dibenarkan beraksi untuk kelab masing-masing kerana berdepan penggantungan sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram