
SATU kemalangan dilaporkan berlaku di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tapah, Perak membabitkan penunggang motosikal pada Sabtu yang ditularkan keluarga mangsa baru-baru ini.
Insiden tersebut dikongsikan kakaknya, Nisa Znl di laman Facebook yang meminta agar orang ramai mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan itu agar tampil membantu siasatan.
"Dukacita dimaklumkan adik kami, Aliff Haikal Zainol kemalangan parah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Tapah Kilometer (KM) 315.3 arah Utara pada 20 September (Sabtu) sekitar pukul 10.20 pagi.
BACA LAGI: ‘Angah kerap pulang rumah’, famili penuntut UiTM maut di RNR Tapah reda, ingin tahu kebenaran
Keluarga mangsa meminta mana-mana pihak menyalurkan maklumat berhubung kes itu.
"Adik kami kemalangan kerana dalam perjalanan pulang dari kolej perubatan di Kuala Lumpur (KL) ke Penang untuk menghadiri kenduri tahlil ibu dan nenek yang baru sahaja meninggal dunia," tulisnya.
Hantaran itu dibuat berserta sekeping foto memaparkan motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan dan dibiarkan di tepi jalan dipercayai selepas insiden tersebut berlaku.
Jelas kakaknya, sebelum bertolak kira-kira pukul 8.30 pagi, mangsa sempat mengirim mesej menyatakannya baru hendak memulakan perjalanan ke Pulau Pinang.
Tetapi, kira-kira dua jam kemudian, terdapat individu menghubungi seorang lagi adiknya untuk memaklumkan bahawa Aliff ditemukan di atas jalan sekitar RnR Tapah.
Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius dan kini dalam keadaan kritikal dengan beberapa siri pembedahan perlu dijalankan.
Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. — Gambar hiasan
"Pembedahan buang tempurung kepala sebelah kanan sudah dibuat pada Sabtu. Pembedahan untuk patah tangan kiri dan beberapa tulang di muka, gigi dan hidung masih tidak dapat dibuat kerana adik saya masih tidak stabil," katanya kepada Majoriti.
Jelas Nisa lagi, adiknya kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan dan sudah diberikan ubat tidur dan ubat bagi menaikkan semula tekanan darah.
Menurutnya, mangsa kerap berulang-alik dari KL ke Pulau Pinang sekitar April lalu apabila ibu mereka sekali lagi menghidapi kanser darah.
Selepas ibu mereka meninggal dunia kira-kira tiga bulan kemudian, mangsa kemalangan itu difahamkan tidak begitu kerap pulang dengan hanya kira-kira sebulan sekali.
"Tetapi, awal September ini, dia kerap balik setiap minggu kerana tok pula tidak sihat sebelum meninggal dunia pada 16 September lalu. Adik saya balik ke sini sebelum berulang semula ke KL
Mangsa mengalami kemalangan sekitar RnR Tapah arah Utara.
"Jumaat lalu, mangsa ada kelas hingga ke petang, jadi ayah kami tidak benarkannya untuk pulang pada malam. Jadi, dia memilih untuk pulang pada pagi Sabtu untuk menghadiri tahlil," kata Nisa lagi.
Kakak mangsa turut mengatakan bagaimana Aliff merupakan pelajar pembantu perubatan Tahun Dua di kolej swasta sekitar ibu kota dengan rakaman kemalangan diminta bagi mengetahui maklumat sebenar insiden.
"Dia pelajar terbaik untuk jurusannya buat masa ini, sayang masa depan jadi begini. Kami sekeluarga reda dengan apa yang jadi, cuma terkilan tiada siapa tahu mengenai kejadian sama ada dilanggar lari, terlanggar objek di jalan atau kecuaian sendiri.
"Setakat ini, tiada langsung (pihak beri rakaman) kerana mereka yang hubungi kami untuk maklumkan ambulans menemukan adik saya sudah terjatuh dan tidak sedarkan diri," tulisnya.
Orang ramai yang memiliki rakaman dashcam kemalangan mahupun sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada keluarga mangsa, termasuk Nisa di talian 010-2095320. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram