
SATU insiden menyayat hati dikongsikan pengguna media sosial melibatkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak yang meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Berdasarkan perkongsian menerusi laman Perak Press, mangsa, Muhamad Aqil Nazrul Hisham pulang untuk menghadiri kelas, namun motosikal ditunggangnya mengalami kemalangan sekitar kawasan rehat dan rawat (RnR) Tapah.
“Kami reda jika Angah jatuh sendiri, tetapi jika ada sesuatu yang berlaku, kami mahu tahu kebenarannya,” ujar wakil keluarga dalam beberapa hantaran tular di media sosial.
Namun, setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada penuntut jurusan Senibina (Semester 5) tersebut terlibat dalam kemalangan langgar lari atau hanya terjatuh sendiri ketika berada di atas kenderaan miliknya.
BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa maut kemalangan lori berhenti di Lipis
BACA LAGI: Guru disiasat keluarkan kenyataan hina mangsa kemalangan bas UPSI
Allahyarham yang menuntut di UiTM Seri Iskandar disahkan maut di lokasi kejadian. — Facebook/UiTM Perak
Jadi, untuk mendapatkan kepastian, keluarga arwah meminta orang ramai untuk berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam), namun abang kepada mangsa, Iqbal Nazrul Hisham berkata, tiada sebarang perkembangan diterima.
Jelasnya kepada Majoriti, terdapat sedikit perubahan dari segi kelakuan ditunjukkan adiknya itu yang kerap pulang kira-kira tiga minggu lalu berbanding sebelum ini.
"Tiga minggu kebelakangan ini, arwah selalu pulang ke rumah. Sebelum ini, dia akan tunggu cuti, baru pulang. Arwah pulang ke rumah untuk bertemu ahli keluarga dan selepas itu, barulah dia berjumpa rakannya," katanya.
Tambahnya lagi, kemalangan tersebut pada awalnya disedari kawan kepada Allahyarham yang mendapati lokasinya menggunakan sistem kedudukan sejagat (GPS) menunjukkan kelainan.
"Arwah dari Shah Alam bersama rakan-rakan dan mahu pulang ke UiTM Seri Iskandar kerana ada kelas dan kebetulan, rakan-rakannya tahu mengenai lokasinya menggunakan aplikasi (current location).
Motosikal ditunggang mangsa yang mengalami kemalangan maut di RnR Tapah pada Isnin.
"Tidak lama selepas itu, kira-kira pukul 9 berhampiran Tapah, kedudukannya dalam aplikasi seperti ada tidak kena. Jadi, kawannya menyedari dan sekitar pukul 10 pagi, pihak UiTM menelefon ibu saya," katanya.
Berita tersebut kemudian disampaikan kepada abang arwah yang masih belum mengetahui keadaan sebenarnya sebelum pihak polis memberitahu arwah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Keeway Cafe yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian.
Mangsa yang berusia 21 tahun kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan kaki dengan mayat kemudian dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.
Pihak polis juga sedang mengesan saksi kejadian dan akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak konsesi lebuh raya bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram