
SEORANG wanita maut selepas tersepit manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, Johor pada Isnin.
Kemalangan yang berlaku berhampiran Dewi Farm itu terjadi kira-kira pukul 2.30 petang yang mengorbankan mangsa, Aishah Hasan berusia 48 tahun.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.36 petang.
BACA LAGI: [VIDEO] Bakal suami terlibat kemalangan, pengantin teruskan akad nikah di hospital Kelantan
BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kecaman, suami dipuji tetap tenang lepas isteri cedera kemalangan
Orang awam memenuhi kawasan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan itu.
Susulan itu katanya, 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan kereta Toyota Vios bertembung dengan Honda BRV.
“Mangsa maut dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan Toyota Vios yang dinaikinya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, seorang lagi penumpang Toyota Vios cedera bersama-sama seorang kanak-kanak manakala lima lagi mangsa yang menaiki Honda BRV turut cedera.
Orang ramai menyatakan kemalangan kerap berlaku di laluan berkenaan.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Hasil tinjauan di media sosial menyatakan kemalangan kerap berlaku di kawasan itu, lebih-lebih lagi ketika waktu hujan disebabkan permukaan jalan yang licin.
"Ni mesti kes memotong tidak lepas atau memotong berhampiran selekoh. Ramai pandu kereta laju-laju di Jalan Jemaluang-Mersing. Kita sudah hati-hati, pihak lain pulak jenis tidak menyabar," kata 988.
"Jalan dari Mersing ke Kota Tinggi, janganlah dipandu secara laju lebih-lebih lagi semasa hujan. Boleh terbabas ke dalam semak di tepi jalan," kata Zam 557. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram