
PAKAR keselamatan jalan raya menggesa supaya penjualan alat penukar nombor pendaftaran kenderaan (plate-flipping device) dihentikan serta-merta di platform atas talian.
Prof Madya Dr Law Teik Hua dari Universiti Putra Malaysia berkata, alat tersebut wajar diharamkan kerana ia direka khusus untuk menyembunyikan identiti pemandu yang lari daripada tanggungjawab, sekali gus menjejaskan sistem penguatkuasaan trafik.
“Alat ini kebanyakannya digunakan oleh individu yang cuba mengelak daripada dikesan sistem penguatkuasaan trafik seperti kamera had laju, kamera lampu isyarat dan tol,” katanya.
BACA LAGI: Langkawi sepi, resort mewah pun lengang, ramai 'lari' ke Terengganu dan Hatyai
BACA LAGI: Nilai susut tinggi, tukar simpanan pelaburan emas kepada barang kemas kurang lumayan
“Larangan terhadap penjualan dan penggunaan alat ini merupakan langkah pencegahan demi menjamin keselamatan awam serta menegakkan undang-undang,” tambahnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai kesan lebih luas akibat penjualan dan penggunaan alat tersebut.
“Sistem penguatkuasaan trafik seperti kamera had laju, kamera lampu merah dan sistem tol akan terjejas teruk, menyebabkan lebih banyak kesalahan tidak dapat dikesan,” katanya.
Selain kerugian kewangan dari segi kutipan tol dan terlepas daripada saman, beliau memberi amaran wujud kemungkinan peningkatan amalan pemanduan berbahaya yang boleh membawa kepada lebih banyak kemalangan.
“Alat ini juga boleh menyukarkan siasatan kes jenayah serius, sekali gus menambah cabaran kepada pihak penguat kuasa.
"Jika penggunaan menjadi berleluasa, keyakinan orang ramai terhadap sistem peraturan lalu lintas akan terhakis, menyebabkan tahap pematuhan undang-undang merosot,” jelasnya.
Sementara itu, perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, isu berkenaan bukan hanya terhad kepada pengharaman jualan alat tersebut, tetapi juga menghentikan ketersediaannya secara atas talian.
“Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan JPJ sudah jelas menjadikan satu kesalahan jika mengaburi, mengubah atau mengusik nombor pendaftaran kenderaan.
“Penggunaan alat penukar nombor pendaftaran termasuk dalam kategori ini.
"Pesalah boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara. Jadi, isunya bukan lagi tentang larangan, sebaliknya bagaimana untuk menghentikan penjualan dan memperkukuh penguatkuasaan,” katanya.
Beliau menegaskan, alat itu membawa risiko serius kerana jenayah kecurian, penyeludupan dan kes langgar lari lalu.
“Penguatkuasaan trafik akan lumpuh jika pemandu boleh mengelak kamera dan tol, sekali gus menjadikan jalan raya lebih berbahaya.
"Keyakinan awam terhadap undang-undang akan hilang jika ada pemandu terlepas daripada hukuman berbanding mereka yang patuh,” katanya.
Wan Agyl turut menambah, alat berkenaan dijual secara terbuka di platform beli-belah atas talian walaupun terdapat peraturan perlindungan pengguna.
“Di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2024 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Atas Talian, platform wajib menurunkan produk yang dilarang apabila dilaporkan.
“Jika mereka boleh menarik balik produk tiruan, mereka juga boleh menghapuskan alat penukar nombor pendaftaran ini,” tegasnya.
Presiden Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, K. Bala, pula menekankan bahaya terhadap keselamatan awam serta potensi kesannya kepada operasi kecemasan.
“Nombor pendaftaran kenderaan digunakan untuk mengenal pasti pemilik dalam situasi kecemasan.
"Pihak berkuasa boleh menjejaki pemilik dan menghubungi ahli keluarga. Jika nombor dipalsukan, ia boleh menyebabkan orang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kes di mana nombor pendaftaran palsu menyebabkan pemilik asal menerima saman atau lebih buruk, dituduh terlibat dalam jenayah yang tidak dilakukan.
“Isu nombor pendaftaran palsu atau diubah suai bukanlah perkara baharu, namun ketersediaan alat ‘plate-flipper’ di pasaran kini memburukkan lagi keadaan,” katanya. — The Star/ ARFA YUNUS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram