[VIDEO] Polis Tapah minta wanita dakwa sepupu nyaris ditipu 'geng tarik kereta, tampil beri keterangan


  • Tular
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Seorang wanita mendakwa kereta sepupunya hampir dilarikan individu tak dikenali di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara baru-baru ini.

SEORANG wanita mendakwa kereta sepupunya hampir dilarikan individu yang menyamar sebagai penarik kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara dekat Tapah, Perak baru-baru ini.

Enggan orang lain menjadi mangsa, wanita tersebut berkongsi kisah itu di laman TikTok, iamnurkhadijahh pada Jumaat.

Melalui satu perkongsian video itu, sepupunya itu yang juga seorang wanita bersama rakannya didatangi dua individu lelaki tidak dikenali ketika berhenti di sebuah stesen minyak di kawasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi mandi tasik di Kempas, ibu menangis sayu lihat jasad anak lemas diusung keluar

BACA LAGI: [VIDEO] Mayat wanita berulat ditemukan tidak berpakaian lengkap, polis Shah Alam klasifikasi kes mati mengejut

"Kejadian berlaku apabila seorang lelaki tidak dikenali mendekati mereka dan mendakwa bahawa keretanya akan ditarik kerana terdapat tunggakan pembayaran bulanan.

"Kawan sepupu yang berada di dalam kereta menjadi panik dan segera memanggil dia keluar untuk berhadapan dengan lelaki tersebut.

"Sepupu saya yang berasa curiga terus meminta bukti atau dokumen sokongan dari lelaki berkenaan. Lelaki tersebut kemudiannya berpura-pura ingin menghubungi majikan mereka untuk mengesahkan perkara tersebut.

"Namun, setelah menyedari lelaki tersebut menipu, sepupu saya segera memeriksa status pembayaran keretanya secara dalam talian dan mendapati tiada sebarang tunggakan," katanya.

Bercerita lanjut, sepupunya turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan oleh suspek adalah palsu.

Pemilik akaun TikTok itu turut mendakwa kejadian itu berkemungkinan adalah salah satu taktik jenayah baru untuk memerangkap pengguna jalan raya yang tidak berhati-hati.

"Tahu tak sekarang ni banyak kes yang macam itu and paksa mangsa sampai bagi kunci. Kalau orang dekat parkir ruang bawah tanah, tengok kiri kanan sebelum masuk kereta.

"Dah masuk kereta, jangan main telefon pintar dan kunci kereta. Jenayah yang unexpected. Tak kisahlah lelaki ke perempuan ke tolonglah berhati-hati," katanya.

Dia turut menasihati orang awam untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling dan berhati-hati apabila berhadapan dengan individu yang tidak dikenali.

Namun begitu, tidak dinyatakan sama ada sepupu wanita berkenaan telah membuat laporan polis dan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi mengesahkan tidak menerima sebarang laporan daripada kejadian tersebut setakat ini.

Sehubungan itu, katanya, wanita berkenaan diminta hadir ke Balai Polis Tapah untuk memberi keterangan terhadap cubaan tarik kenderaan yang didakwanya berlaku di hentian rawat tersebut.

Katanya, tiada aduan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kes itu. Kalau wanita tersebut boleh hadir untuk diambil keterangan, ia dapat membantu kita membuat siasatan," katanya pada Sabtu memetik laporan Sinar Harian.

Tambah beliau lagi, tindakan pencegahan juga sentiasa dilaksanakan dengan mengadakan program 'Talk to Us' selain rondaan cegah jenayah oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram