
SEORANG pemandu Toyota Innova hitam menerima padah apabila tindakannya didakwa sengaja menghalang laluan dua ambulans yang membawa pesakit kritikal di Tuban, Indonesia tular di media sosial.
Difahamkan, ambulans dari Pusat Kesihatan Parengan ketika itu sedang merujuk mangsa kemalangan ke Hospital Umum dr. R. Sosodoro Djatikoesoemo, Bojonegoro.
Menurut saksi, kedua-dua ambulans terbabit telah menghidupkan siren serta lampu kecemasan selain beberapa kali memberi isyarat agar kenderaan di hadapan memberikan laluan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
Namun, pemandu Innova hitam itu dilihat terus berada di lorong tengah dengan kelajuan tidak menentu sehingga menyukarkan perjalanan ambulans.
Tindakan tersebut akhirnya memaksa pemandu ambulans berhenti sebelum menarik pemandu kereta terbabit untuk melihat sendiri keadaan pesakit yang sedang bertarung nyawa.
Rakaman insiden berkenaan kemudian dikongsi Noorwansyah Tri Satrio di laman Facebook miliknya dengan pada Rabu sehingga mengundang kecaman hebat netizen.
Seorang pemandu Toyota Innova hitam menerima padah apabila tindakannya didakwa sengaja menghalang laluan dua ambulans yang membawa pesakit kritikal di Tuban, Indonesia tular di media sosial. pic.twitter.com/vMdK2wtTYO
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) September 19, 2025
Selepas video berkenaan tular, pemandu yang dikenali sebagai Hendrik Susanto, 39, dari Desa Sranak, Bojonegoro tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada Jumaat.
“Saya Hendrik Susanto, pemandu Innova berwarna hitam, dengan rendah diri memohon maaf kepada pihak Puskesmas Parengan, pemandu ambulans serta seluruh masyarakat atas kejadian yang berlaku.
"Saya benar-benar kesal dan khilaf,” katanya dalam rakaman video yang turut tersebar di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Balai Parengan, Ramelan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, insiden tersebut bermula ketika dua pesakit kemalangan dievakuasi menggunakan dua ambulans dari Puskesmas Parengan.
“Semasa melalui Jalan Ponco, sebuah Toyota Innova berwarna hitam enggan memberi laluan.
"Berlaku sedikit pergeseran pada bahagian kanan kereta itu namun ambulans tetap meneruskan perjalanan kerana keadaan darurat.
"Pemandu Innova bagaimanapun tidak berpuas hati lalu mengejar ambulans berkenaan,” jelasnya.
Menurut beliau, pemandu ambulans sempat menjelaskan bahawa pesakit di dalam kenderaan perlu segera mendapatkan rawatan dan bersedia bertanggungjawab terhadap insiden senggolan selepas pesakit selamat dirawat.
“Selepas disoal siasat pihak polis pada Khamis, kedua-dua belah pihak akhirnya sepakat menyelesaikan perkara tersebut sesama sendiri,” katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram