
SEKURANG-KURANGNYA lapan penumpang maut dalam nahas sebuah bas pelancong di lereng Gunung Bromo, Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia pada Ahad.
Kesemua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai kakitangan Hospital Bina Sehat (HBS) Jember.
Pengarah Hospital Bina Sehat (HBS), Faida mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa rombongan berkenaan adalah kakitangan hospital yang bercuti di kawasan pelancongan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Dakwa cedera dipukul pemandu mengundur, polis siasat kes gaduh dekat lampu isyarat di Klang
BACA LAGI: [VIDEO] Majlis Daerah Baling tampil perjelas isu caj RM400, nafi pegawai langgar etika
“Mereka dalam perjalanan turun dari Gunung Bromo selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena kelulusan Ijazah Sarjana Muda,” katanya.
Selain lapan mangsa yang maut, lebih sepuluh penumpang lain turut cedera termasuk beberapa yang dilaporkan kritikal.
Mangsa dibawa ke beberapa hospital sekitar Probolinggo antaranya Hospital Dr Mohamad Saleh dan Hospital Arrozi.
“Kami menggerakkan 18 ambulans dengan pengiring polis bagi membantu pemindahan mangsa yang cedera,” ujar Faida.
Beliau turut memaklumkan pihaknya kini berada di Hospital Umum Daerah (RSUD) M Saleh, Kota Probolinggo untuk proses pengecaman jenazah.
Sementara itu, Ketua Polis Trafik Probolinggo, Asisten Komisioner Polis, Safiq Jundhira, memaklumkan siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek.
“Maklumat awal menunjukkan bas mengalami masalah brek. Itu maklumat awal daripada pemandu dan penumpang, namun pengesahan penuh hanya akan dibuat selepas siasatan dan proses evakuasi selesai,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, terdapat 50 penumpang dalam bas tersebut dan kebanyakannya kakitangan kesihatan yang sedang melancong ke Bromo.
Nahas berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi apabila bas pelancong milik Inds88Trans dipandu laju dan hilang kawalan, sebelum merempuh pembatas jalan dan sebuah rumah di seberang jalan.
“Pemandu kini ditahan di pejabat polis trafik selepas mengalami kecederaan di tangan,” jelas Safiq. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram