
PERSELISIHAN faham dalam kalangan pengguna jalan raya bukanlah sesuatu perkara asing kerana isu sedemikian kerap kali terjadi setiap kali kemalangan berlaku, sama ada kecil mahupun besar.
Namum, adalah lebih baik sekiranya pertengkaran tersebut tidak diperbesarkan memandangkan kegagalan mengawal emosi boleh mencetuskan perkara tidak diingini.
Malah, sekiranya terdapat keluarga dan anak-anak ketika perbalahan berlaku, ibu bapa perlu bersabar dan pantas meredakan keadaan agar individu tersayang tidak terkesan dari segi fizikal mahupun mental.
BACA LAGI: Kuat mencarut, memaki ketika memandu boleh jadi punca ke neraka
BACA LAGI: Dari jururawat ke penjaga nenek di Mesra Home, Faezah bukti wanita kuat masih wujud
Dalam sebuah video tular baru-baru ini, sikap seorang bapa yang gagal mengawal emosi ketika hampir terlibat dalam kemalangan jalan raya boleh menjadi contoh tauladan terbaik.
Rakaman itu dikongsikan di laman Facebook Chill Media memaparkan seorang penunggang motosikal mengelak insiden selepas pengguna lain membelok secara melulu tanpa melihat keadaan sekeliling dan tidak memberi signal.
Meskipun tiada sebarang kemalangan berlaku, penunggang yang juga pemilik rakaman itu bertindak melepaskan amarah dengan menanyakan sama ada dia tidak nampak akan kehadiran motosikal lain.
Kemarahan terbabit boleh dikatakan berpunca daripada kelalaian pengguna jalan raya lain tersebut yang membawa anaknya di dalam bakul motosikal dengan kemalangan boleh mendatangkan kecederaan serius.
Bagaimanapun, teguran berbentuk kasar itu jelas membuatkan sang bapa berkenaan berasa berang sebelum bertindak mengejar perakam itu sehingga kedua-dua mereka berhenti di sebuah stesen minyak.
Kedua-dua pengguna jalan raya tersebut kemudian saling bertikam lidah meskipun orang ramai berada di lokasi, termasuk anak yang turut menyaksikan kemarahan tersebut.
Kekecohan tidak menjadi lebih teruk selepas dua penunggang itu mula meninggalkan stesen minyak terbabit meskipun terdapat kata-kata kesat dilemparkan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati pengguna media sosial menyalahkan kedua-dua pihak kerana gagal mengawal emosi, namun tumpuan besar ditujukan kepada bapa yang sepatutnya tidak bertindak sedemikian di hadapan anak.
"Apalah depan anak sendiri pun mudah memaki sebegitu. Tunjuklah sikap yang elok di hadapan anak," kata BLewiss.
"Dia bawa anak, janganlah pula bergaduh depan anaknya. Kasihan anak itu, sepatutnya dua-dua dewasa itu boleh bersabar," kata farah.
"Dua-dua pun salah. Bapa kalau nak maki atau mencarut, janganlah hadapan anak sendiri kerana risau dia akan terikut kerana tidak berasakan perkara itu salah," kata Shaila Yusof.
Pandangan dikongsikan di media sosial itu adalah tepat kerana sikap dan kata-kata diungkapkan ibu bapa akan membentuk sama ada seorang anak akan menjadi baik atau sebaliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram