
WANITA sering dianggap lemah sehingga ada segelintir individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.
Itulah yang berlaku di sebuah premis kedai di Golden Triangle 2 dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang di sini apabila seorang lelaki tidak dikenali mencetuskan panik selepas masuk ke sebuah premis dengan kelakuan mencurigakan.
Dalam video kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di laman media sosial pada Sabtu, lelaki tersebut didakwa berlegar-legar di luar premis berkenaan sebelum secara tiba-tiba masuk ke kedai tesebut sehingga menakutkan tiga pekerja wanita.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
Lebih menakutkan lagi, memperlihatkan suspek menutup pintu roller shutter sebelum menunjukkan perlakuan tidak senonoh sehingga menimbulkan rasa takut kepada mangsa yang sedang bertugas.
Malah dalam video tersebut kedengaran suara suspek bercakap lucah dan cuba menghampiri mangsa.
Ketiga-tiga pekerja tersebut bernasib baik apabila lelaki berkenaan keluar dari premis kedai tersebut selepas salah seorang daripada mereka memberanikan diri untuk melawan.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen di media sosial turut meluahkan rasa bimbang dan menzahirkan sokongan supaya pihak berkuasa segera mengambil tindakan, termasuk memeriksa di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti suspek.
Seorang pengguna media sosial, Syamsul Fauzi Baharudin berkata, aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius terutama bagi premis yang menggaji majoriti pekerja wanita.
“Bagi tujuan keselamatan, lebih baik sediakan butang penggera kecemasan yang mudah diakses pekerja ketika berdepan situasi sebegini, supaya orang sekeliling boleh segera memberi bantuan,” katanya.
Sementara itu, pengguna bernama Mamu Jal pula mencadangkan pihak berkuasa meningkatkan rondaan terutama di kawasan komersial tumpuan.
“Kawasan macam Golden Triangle ni sentiasa sibuk, jadi kena ada pemantauan polis atau pengawal keselamatan tetap. Jangan tunggu ada mangsa baru nak bertindak,” katanya.
Menurutnya lagi, langkah pencegahan seperti pengawal keselamatan atau rondaan berkala juga perlu dipertimbangkan memandangkan kawasan komersial sering menjadi tumpuan orang ramai.
Seorang lagi netizen, Nathrah Abdul Rahman, berkata pemilik kedai juga wajar memasang jeriji tambahan kerana pekerja mungkin terlalu sibuk hingga tidak menyedari orang luar masuk.
“Staff kadang-kadang leka buat kerja, terutama kedai yang layan order online. Sibuk packing barang sampai tak perasan ada orang menceroboh,” katanya.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram