[VIDEO] Lelaki hempuk helmet pecahkan almari kaca kedai makan di Pengkalan Chepa dicekup polis kerana khianat


  • Kes
  • Rabu, 17 Sep 2025

Hentakan kuat menyebabkan kaca bertebaran dan memasuki lauk pauk yang disediakan di kedai makan itu.

HANYA disebabkan perselisihan faham berhubung laluan kenderaan, seorang lelaki di Kampung Landak, Pangkalan Chepa, Kelantan sanggup memecahkan cermin di kedai makan sehingga mengakibatkan kerugian.

Insiden pada Isnin itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan dimuat naik di laman TikTok Aiman Nasi Ayam Crispy memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal membuat kecoh terhadap pekerja kedai makan.

Difahamkan, tindakan itu adalah disebabkan kereta yang singgah untuk mengunjungi kedai tersebut akan menghalang lalu lintas, namun perkara berkenaan dinafikan pemilik media sosial terbabit.

BACA LAGI: Diberhentikan kerja dek pandemik, bekas akauntan pulang ke Pengkalan Chepa buka kedai baiki telefon pintar

BACA LAGI: [VIDEO] Lambat tekan brek, pelajar melambung 360 darjah bertembung kereta di Pengkalan Chepa

"Sebelum ini, berniaga hampir dua tahun, kawasan parkir semua baik sahaja. Tetapi, kelmarin, tidak tahu sebab apa tiba-tiba tak dibenarkan meletakkan kenderaan asbab susah untuknya lalu lalang, namun tidak menghalang pun," tulisnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan kejadian terbabit. 

Katanya, kejadian berpunca daripada lelaki berkenan yangg tidak berpuas hati kerana kereta diparkir di depan sebuah kedai makan berkenaan menghalang laluannya. 

Dalam kejadian pukul 3.15 petang Isnin itu, lelaki berusia 36 tahun yang menunggang motosikal meluahkan rasa tidak puas hati kepada pemilik kedai mengenai perkara itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki itu bertindak memecahkan cermin almari makanan kedai makan dengan menggunakan topi keledar.

Katanya, kejadian itu tular menerusi rakaman video sejak Selasa yang mendapati seorang individu melakukan khianat terhadap sebuah kedai makan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima satu laporan berkaitan kejadian daripada seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pemilik kedai makan pukul 7.15 malam Isnin.

"Pihak polis turut mengesan rakaman video yang dimuat naik di Facebook yang tular sejak Selasa," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu pada pukul 1 pagi tadi (Rabu).

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan suspek direman bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram