
UMUM mengetahui, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam serta semangat perpaduan.
Keunikan itu sering kali dapat dilihat dalam majlis keramaian apabila hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum dizahirkan dengan penuh harmoni.
Terbaharu, suasana meriah sebuah majlis persandingan pasangan memelai berbangsa Melayu menjadi tumpuan apabila rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki berketurunan India dipercayai rakan kepada pengantin lelaki dengan penuh bergaya dalam busana tradisional Melayu tular di media sosial.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
Walaupun tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar, namun rakaman video yang dimuat naik pada Selasa itu sahaja sudah cukup menggambarkan nilai erti persahabatan tanpa mengira kaum.
Lebih menarik, rakan pengantin lelaki tersebut dilihat tampil segak berbaju Melayu lengkap bersamping, seolah-olah mahu benar-benar menghormati budaya sahabatnya yang diraikan pada hari bahagia itu.
Kemuncak perhatian berlaku apabila mereka menyerahkan seutas rantai emas dan gelang emas kepada pengantin lelaki di pelamin.
Gelagat mesra sahabat berbeza bangsa itu mengundang sorakan tetamu serta senyuman hadirin yang menyaksikan momen penuh bermakna tersebut.
Rakaman berkenaan kemudian tular di media sosial, dengan rata-rata warganet memuji keikhlasan serta kesungguhan lelaki berbangsa India itu dalam meraikan sahabat baiknya.
Perkongsian itu turut mengingatkan ramai bahawa keharmonian masyarakat majmuk di negara ini boleh terus terpelihara sekiranya setiap individu menghargai perbezaan dan mengamalkan sikap saling menghormati.
Rata-rata warganet turut meluahkan rasa kagum dengan tindakan sahabat berbangsa India itu.
Seorang pengguna media sosial, Fadilah Dilla Sulong menyifatkan penampilan lelaki berkenaan yang segak berbaju Melayu sebagai sesuatu yang cukup mengagumkan.
"Segak berbaju Melayu kawan India dia, terbaik la. Hadiah bukan biasa-biasa itu, belum pernah lagi orang dapat rantai emas," tulisnya.
Bagi Puan Fitamaria pula, dia memuji sikap sahabat tersebut yang bukan sahaja hadir dengan penuh bergaya dalam busana Melayu lengkap bersamping.
"Pakai baju Melayu lengkap dengan samping. Benar-benar meraikan pengantin dengan penuh hormat dan keikhlasan," katanya.
Sementara itu, Siti Fatimah berpendapat pemberian rantai emas itu mungkin sebenarnya ditujukan kepada pengantin wanita, namun demi menjaga adab, ia diberikan kepada pengantin lelaki.
"Rasanya mereka nak bagi pengantin wanita rantai emas itu tetapi jaga adab. Indahnya persahabatan dua bangsa, ini baru 1 Malaysia," tulisnya.
Ada juga netizen, Adib Maulana yang berseloroh bahawa rantai emas berkenaan akhirnya akan menjadi milik pengantin perempuan apabila pengantin lelaki menghadiahkannya semula kepada isterinya.
"Nampak pengantin perempuan senyum panjang itu. Habis majlis, isteri yang dapat. Ini yang kita mahukan,kedua-duanya tetap mendapat bahagia.
Kisah persahabatan dua sahabat berlainan bangsa itu bukan sahaja mencuit hati, malah menjadi contoh bahawa keindahan Malaysia yang berbilang kaum terletak pada semangat kebersamaan yang terus mekar dari generasi ke generasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram