[VIDEO] Keindahan pantai dan hidupan laut 'mangsa' pesta tanglung, bimbang Terengganu sasaran seterusnya


  • Massa
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Keindahan malam festival tanglung di Cherating dicemari sisa kain, dawai, dan kayu buluh ancaman kepada hidupan laut dan keselamatan pengunjung.

WALAUPUN sudah beberapa hari berlalu, penganjuran Cherating Lantern Festival masih hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat setempat dan warga maya.

Manakan tidak, kemeriahan pesta tanglung itu bertukar kontroversi apabila timbul dakwaan ia meninggalkan kesan pencemaran serius di kawasan pantai di Cherating, Pahang.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna Threads, Zackrey Omar, yang mendakwa sampah sarap daripada festival berkenaan bertebaran hingga ke laut dan berpotensi mengancam hidupan marin termasuk penyu.

BACA LAGI: [VIDEO] Kontraktor maut tertimbus tanah runtuh ketika bertugas

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

 

 

 

Menurutnya, sehari sebelum festival, dia bersama keluarga melepaskan anak-anak penyu di kawasan berdekatan.

Namun, sehari selepas acara itu berlangsung, keadaan pantai berubah dengan dipenuhi plastik yang hanyut ke laut.

“Penyu boleh mati kerana menyangka plastik itu makanan seperti rumpai laut atau obor-obor.

“Lebih menyedihkan, kami lihat ibu bapa bersama anak kecil yang terlebih dahulu memungut sampah, sedangkan hanya tiga atau empat pegawai yang mula membersihkan kawasan sekitar pukul 4 petang.

“Malangnya, kerosakan sudah berlaku kerana banyak sampah hanyut jauh ke tengah laut,” tulisnya pada Sabtu.

Zackrey dalam hantaran tersebut turut mengecam penganjur festival yang disifatkan tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan serta keselamatan alam sekitar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan kebimbangan sama.

Seorang warga maya, jenandjoplus1 meluahkan rasa bimbang jika penganjuran festival itu diteruskan di Terengganu dalam masa terdekat, risiko pencemaran akan berulang.

“Jika festival sebegini diteruskan, ia ibarat membawa kita patah balik 30 tahun dalam usaha menyelamatkan penyu dan spesies lain.

"Harap ada pihak tampil menghentikannya sebelum terlambat,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Saif Ali menegaskan penganjuran festival itu turut mencacatkan pemandangan pantai yang sepatutnya menjadi daya tarikan pelancong.

"Plastik yang bertaburan bukan sahaja merosakkan panorama, malah menjadikan kawasan beristirahat tidak lagi nyaman.

"Situasi itu, mencemarkan pengalaman bercuti berkelah bersama keluarga," tulisnya.

Dalam perkembangan lain, penganjur Cherating Lantern Festival, MadproStudios tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut menerusi ruangan TikTok kamsurf.com pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembersihan akan dijalankan dalam tempoh 48 jam selepas air pasang, selain pihaknya turut berjanji untuk mengemukakan rakaman video sebagai bukti pantai dibersihkan sepenuhnya, khususnya membabitkan sisa sky lantern.

MadproStudios turut menegaskan bahawa tanglung yang digunakan sepanjang festival adalah 100 peratus boleh terbiodegradasi.

Bagaimanapun, kenyataan itu masih belum meredakan keresahan dalam kalangan warga maya yang menuntut jaminan lebih tegas agar insiden sama tidak berulang, terutama jika festival berkenaan diteruskan di lokasi lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram