
SEORANG lelaki maut maut selepas tertimbus tanah ketika menjalankan pemeriksaan sebuah jalan raya yang runtuh akibat sistem pembetungan dan saliran di Don Kaew dekat Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Prasert, 56 yang merupakan Ketua Jabatan Pembinaan Pejabat Perbandaran sedang melakukan pemeriksaan sebelum tanah di bahagian atas runtuh lalu menimpanya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 10 September lalu namun video tersebut mula tular pada Khamis di laman X (Twitter).
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
Usaha menyelamat mengambil masa hampir 20 minit apabila rakan setugas bersama pasukan penyelamat berhempas pulas mengeluarkan mangsa daripada timbunan tanah dan runtuhan.
Mangsa yang parah akibat patah tulang serta kecederaan dalaman termasuk pada limpa, segera dikejarkan ke Hospital Nakornping, namun disahkan meninggal dunia.
Datuk Bandar Don Kaew, Polakorn Kanthawang, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan pihaknya akan menyalurkan sokongan sepenuhnya.
Dia turut mengingatkan semua pihak agar meningkatkan tahap keselamatan terutama dalam kerja pemeriksaan dan pembinaan sepanjang musim hujan.
Kejadian berkenaan turut mengundang perhatian orang ramai yang menasihatkan supaya langkah keselamatan dipertingkatkan ketika melakukan pemeriksaan di kawasan berisiko runtuhan.
Seorang pengguna laman X, @Heraloebss berkata, tragedi itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya agensi berkaitan supaya memastikan pekerja dilengkapi peralatan keselamatan sewajarnya.
“Kawasan yang berisiko runtuhan tidak boleh diperiksa secara terbuka begitu sahaja, mesti ada penilaian awal dan penggunaan peralatan perlindungan diri,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram