
NIAT baik seorang lelaki membantu menyelamatkan dua remaja yang terjatuh dari perahu kayuh (pedal boat) berbentuk angsa di Danau Situ Salawe, Malangbong, berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas pada Ahad.
Mangsa, Dede, 43, dari Kadipaten, Tasikmalaya, dilaporkan cuba membantu dua remaja berkenaan yang terjatuh ke dalam tasik berkenaan sekitar pukul 2 petang Ahad.
Video kejadian turut tular di laman media sosial pada hari yang sama sehingga menjadi bualan masyarakat di Indonesia dan juga Malaysia pada ketika ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
Manakan tidak, kejadian itu berlaku dikatakan berpunca daripada tindakan sekumpulan remaja yang menaiki pedal boat tersebut sehingga terlebih muatan.
Niat baik seorang lelaki membantu menyelamatkan dua remaja yang terjatuh dari perahu kayuh (pedal boat) berbentuk angsa di Danau Situ Salawe, Malangbong, berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas pada Ahad. pic.twitter.com/jHxBuWpqj4
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) September 16, 2025
Ketua Balai Polis Malangbong, Asisten Kommisioner Polis, Suwarna berkata, dua remaja terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam yang lain, namun malang menimpa Dede apabila dia tenggelam dan gagal timbul ke permukaan ketika cuba menyelamatkan remaja berkenaan.
“Dua remaja berjaya diselamatkan, tetapi seorang lelaki dewasa yang turut membantu tenggelam dan hilang dari pandangan,” katanya pada Isnin.
Berikutan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan polis, tentera, Basarnas, sukarelawan serta pengurusan lokasi pelancongan segera dikerahkan bagi mengesan mangsa.
Selepas lebih dua jam pencarian, mayat mangsa ditemui sebelum dibawa ke Hospital Umum Malangbong untuk tindakan lanjut.
“Kami mengawal kawasan kejadian serta mengumpul keterangan saksi bagi membantu siasatan,” ujar Suwarna.
Beliau menegaskan, pihak berkuasa akan memperketat langkah keselamatan di kawasan pelancongan tersebut bagi mengelakkan insiden serupa berulang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram