[VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni


  • Benua
  • Ahad, 14 Sep 2025

Seorang kanak-kanak perempuan (gambar kecil) maut selepas dibunuh oleh jirannya sendiri di Indonesia. — Agensi

PENDUDUK Kampung Toluwonua, dekat Mowila, Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam keadaan menyayat hati di kawasan kebun pada Sabtu.

Mangsa, dikenali sebagai NNH, merupakan anak tunggal pasangan P dan A ditemui tidak bernyawa di dalam karung guni yang ditinggalkan hanya beberapa ratus meter dari rumah keluarganya.

Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat bermain bersama sepupunya di halaman surau berhampiran rumah pada Khamis petang lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Samping ini aku paling sayang', pelajar Malaysia sempat beri hadiah, solat Jumaat terakhir di AS

BACA LAGI: [VIDEO] Menyesal tak berguna, lelaki Indonesia tergamak kerat kekasih, seminggu tinggal bersama jasad

Namun sehingga masuk waktu Maghrib, hanya sepupunya pulang manakala NNH gagal dikesan, sekali gus mencetuskan usaha mencari besar-besaran oleh penduduk kampung.

“Sejak dia hilang, tiada siapa di kampung tidur lena kerana semua keluar mencari,” kata bapa saudara mangsa, Dimas.

Bau busuk bongkar rahsia

Selepas dua hari pencarian, seorang penduduk terhidu bau busuk di kawasan kebun sebelum menemui sebuah karung mencurigakan.

Pemeriksaan mendapati jasad NNH berada di dalamnya, mencetuskan suasana pilu dan panik dalam kalangan penduduk.

Polis yang tiba di lokasi kemudian membawa mayat ke Hospital Bhayangkara Kendari untuk proses bedah siasat.

Kejadian itu turut menjadi tular dan mencetuskan kegusaran awam dalam kalangan penduduk setempat.

 

 

 

Sementara itu, siasatan lanjut Polis Resor Konawe Selatan mendapati seorang jiran mangsa, AF, 21, menjadi suspek utama.

Lelaki itu pada awalnya dilihat aktif menyertai pencarian, namun tindak-tanduknya menimbulkan curiga apabila cuba mengarahkan penduduk ke lokasi berbeza daripada tempat mayat dibuang.

“Suspek berpura-pura membantu mencari, tetapi dia sebenarnya tahu lokasi mangsa dibuang,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polres Konsel, La Ode Jefri Hamzah.

Hasil soal siasat membawa kepada pengakuan AF bahawa dia membunuh mangsa di rumahnya pada Khamis petang.

Menurut suspek, mayat kanak-kanak malang itu pada mulanya disumbat ke dalam beg merah dan disorok dalam almari sebelum dipindahkan ke karung guni pada awal pagi.

Lebih mengejutkan, suspek turut mengaku melakukan serangan seksual terhadap mangsa sebelum membunuhnya.

Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk beg, bantal, selimut serta sandal dan seluar mangsa di rumah suspek.

Keluarga rayu keadilan

Dimas berkata, kehilangan itu amat memeritkan kerana NNH merupakan satu-satunya anak dalam keluarga berkenaan.

“Ibu bapanya sangat terkesan dengan tragedi itu, terutama ayahnya yang ketika itu berada di lombong. Kami mahu pelaku dihukum seadil-adilnya,” ujarnya dengan nada sebak.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung, namun tragedi itu meninggalkan luka mendalam buat keluarga serta penduduk setempat. — Agensi

 

 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram