[VIDEO] Gagal cubaan lolos, 3 penjenayah ‘wanted’ bersenjata dicekup di Klang


  • Kes
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Tangkap layar video polis menahan 3 suspek penjenayah di Klang pada Khamis.

TINDAKAN tiga lelaki cuba meloloskan diri dengan memecut kereta Proton Waja hitam selepas diarahkan berhenti oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Klang Selatan berakhir dengan penahanan mereka di Taman Sentosa dekat Klang Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu bermula apabila pasukan MPV mengesan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bulatan Jalan Kebun, Klang.

“Anggota polis kemudian mengarahkan kenderaan tersebut berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya bertindak memecut laju dan memandu secara berbahaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Menyesal tak berguna, lelaki Indonesia tergamak kerat kekasih, seminggu tinggal bersama jasad

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

"Bagaimanapun, tindakan pantas anggota berjaya menahan ketiga-tiga lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

 

 

 

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sebilah parang panjang dan sepasang sarung tangan dipercayai untuk kegiatan jenayah.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek berusia 30-an masih dikehendaki Polis Kuala Lumpur kerana kes narkotik selain memiliki 34 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Dua lagi masing-masing mempunyai tujuh dan satu rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan di bawah akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun serta sebatan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah kepada pihak polis. PDRM memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap penjenayah,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan beberapa unit peronda MPV polis mengejar sebuah kenderaan milik suspek di Klang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram