
AHLI Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berpandangan penurunan harga barangan asas tidak berlaku sejurus pengurangan kadar bahan petrol bersubsidi sebanyak enam sen yang akan berkuat kuasa pada September.
Jelasnya, pelbagai faktor masih perlu diambil kira seperti kos pengeluaran produk selain kesan daripadanya hanya boleh dilihat beberapa bulan selepas harga baharu itu diperkenalkan.
"Tiada siapa yang tahu buat masa ini kerana kita hanya boleh melihat selepas beberapa bulan, iaitu menjelang akhir tahun ini. Selain dari faktor bahan mentah dan kos pengeluaran, harga dalam sistem pasaran terbuka dipengaruhi oleh banyak perkara," katanya.
BACA LAGI: SARA RM100: Beras, minyak masak dan detergen dalam 'list', cek barangan boleh dibeli
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, salah satu faktor penetapan harga adalah persaingan dalam kalangan peniaga yang pasti enggan menurunkan harga penjualan sekiranya pembeli masih mendapatkan barangan diperlukan.
Selain itu, jelasnya lagi, kos barang mentah turut dipengaruhi harga sepanjang rantaian bekalan dengan penurunan hanya dilakukan sekiranya pengilang berbuat demikian.
"Kos juga bergantung kepada kadar upah pekerja dan kos-kos lain. Oleh itu, mengimbangi kenaikan harga memerlukan peranan semua pihak dengan kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada kenaikan mendadak harga bahan asas yang berterusan.
Harga baharu petrol bersubsidi akan berkuat kuasa pada penghujung September.
"Kerajaan juga bertanggungjawab memastikan undang-undang berupaya menyekat amalan mengambil untung berlebihan yang memanipulasi pengguna dan undang-undang ini boleh dikuatkuasakan," katanya lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol bersubsini akan diturunkan sebanyak enam sen kepada RM1.99 seliter yang akan memberi manfaat kepada 18 juta pemandu dan penunggang seluruh negara.
Kadar baharu itu diharapkan mampu menurunkan harga barang runcit kerana kos sara hidup ketika ini adalah sedikit membebankan dengan peningkatan harga yang kadang-kala di luar kawalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram