[VIDEO] Macam tak buat salah, lelaki berang kereta ditunda bakar lori tunda MBJB


  • Tular
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Tangkap layar kejadian lelaki itu menceroboh kawasan berkenaan sebelum melakukan tindakan sabotaj terhadap lori tunda terbabit.

TULAR rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kegiatan khianat ke atas sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Depoh Simpanan Kenderaan MBJB, Lot 1 Waterfront City di Johor Bahru, Johor. 

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 15 Ogos lalu sekitar pukul 11.08 pagi, berdasarkan waktu yang tertera dalam rakaman berkenaan. 

Klip video berdurasi satu minit 11 saat yang dimuat naik akaun Facebook, Penyulam Aksara itu kini hangat diperkatakan di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet Malaysia. 

BACA LAGI: Kes serangan anak Rafizi: Bukit Aman ambil alih siasatan

BACA LAGI: Pakej cuti khas jururawat Sibu-Bintulu: Tiket serendah RM138, diskaun hotel 10 peratus

Rakaman tersebut memperlihatkan kelibat seorang individu yang dipercayai menceroboh kawasan berkenaan sebelum melakukan tindakan sabotaj terhadap lori tunda terbabit.

Bagaimanapun, identiti lelaki berkenaan masih belum dapat dipastikan.

Motif sebenar kejadian juga masih menjadi tanda tanya, sama ada ia berpunca daripada rasa tidak puas hati individu tertentu terhadap tindakan penguatkuasaan MBJB atau sekadar perbuatan khianat yang dilakukan secara rawak.

Dalam pada itu, netizen rata-rata mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan merosakkan imej pihak berkuasa tempatan, ada juga yang mendesak pihak berkuasa segera mengesan pelaku. 

Pada masa sama, ada juga mendakwa aksi lelaki berbaju hitam itu hanya lakonan semata-mata daripada pihak MBJB sendiri berikutan individu berkenaan masih kelihatan ketika mereka memadam api di lokasi kejadian. 

"Latihan saja ke? Yang bakar ada saja di situ, nampak tenang dia," kata pemilik akaun Facebook, Lencai Mari. 

"Rasa benda ini dari MBJB juga sebab budak yang keluar dari depan lori masa dia bakar itu pun. Itu yang t-shirt hitam ada corak, cuba tengok semula video," komen pengguna Facebook, Nor Zaidah Zainal. 

Setakat ini, pihak polis mahupun MBJB masih masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan kes tersebut. 

Dalam perkembangan terbaharu mengenai kejadian berkenaan, seorang lelaki ditahan polis selepas tindakan membakar lori milik MBJB itu. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.07 pagi, dengan suspek berusia 31 tahun bertindak demikian dipercayai tidak puas hati apabila kereta Perodua Axia miliknya ditunda MBJB, Khamis lalu.

"Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun telah diminta membuat rayuan, namun merasakan proses berkenaan menyusahkan dirinya sebelum bertindak di luar batas undang-undang.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah menuang minyak petrol dan menyalakan api pada lori tunda MBJB sehingga mengakibatkan kebakaran dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Raub berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada pukul 1.06 tengah hari, Khamis dan merampas beberapa barang kes termasuk tong aluminium serta pemetik api.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Namun ujian saringan air kencing dilakukan negatif bahan terlarang.

"Suspek kini direman selama lima hari bermula Jumaat lalu hingga Selasa bagi siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda," katanya.

Raub turut menegaskan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri adalah perbuatan serius yang boleh mengancam nyawa, harta benda serta ketenteraman awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram