
KEPUTUSAN kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap emas bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pengguna tempatan, malah membuka laluan luas kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab emas yang lebih kompetitif di rantau Asia Tenggara.
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, langkah itu memberi kelebihan strategik kepada Malaysia berbanding negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang masih mengenakan cukai terhadap emas dalam pelbagai bentuk.
"Di Singapura, emas perhiasan dikenakan GST sebanyak lapan peratus. Di Indonesia pula, emas dikenakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 1.1 peratus.
BACA LAGI : Emas ibu boleh difaraid sesama adik-beradik perempuan walaupun dibeli atas nama anak lelaki — Pakar
"Sebaliknya, pengecualian SST di Malaysia menjadikan harga emas lebih menarik dan kompetitif," katanya kepada Majoriti.
Menurut beliau, kelebihan itu telah mula menarik perhatian pembeli dan pelabur luar negara yang melihat Malaysia sebagai destinasi utama pembelian emas, khususnya dalam bentuk pelaburan seperti jongkong dan dinar.
"Saya sendiri mengenali pelanggan dari Singapura yang sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk membeli emas kerana harga yang jauh lebih murah. Ini adalah satu kelebihan besar yang harus dimanfaatkan," ujarnya.
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir
Katanya, pengecualian cukai itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tempatan, malah berpotensi menjana ekonomi menerusi pembelian emas oleh pelancong asing.
"Langkah itu secara tidak langsung boleh menjadikan Malaysia pusat tumpuan pelabur emas, sekali gus menyokong industri barang kemas tempatan dan meningkatkan pendapatan peniaga emas," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dengan akses maklumat harga semasa melalui aplikasi dan laman web, pelabur kini lebih bijak dan sentiasa membandingkan harga antara negara sebelum membuat keputusan.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata pengecualian SST telah memberi kesan positif kepada pasaran domestik apabila semakin ramai yang kembali membeli emas setelah sekian lama menangguhkan pembelian kerana kekeliruan terhadap isu cukai.
"Sejak pengumuman rasmi, saya sendiri terima banyak mesej daripada orang ramai yang mahu tahu lebih lanjut dan mula membeli semula.
"Ia memberi isyarat bahawa keyakinan terhadap emas sebagai aset selamat semakin meningkat,” katanya.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa harga emas masih bergantung kepada faktor luaran seperti harga global dan kadar tukaran mata wang.
"Kalau harga emas dunia turun tetapi ringgit melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (USD), harga emas tempatan masih boleh meningkat.
"Jadi, walaupun SST dikecualikan, pembeli tetap perlu faham faktor-faktor lain yang mempengaruhi pasaran," jelasnya.
Harga emas masih bergantung kepada faktor luaran seperti harga global dan kadar tukaran mata wang. — Gambar Hiasan
Beliau turut menyifatkan emas sebagai instrumen kewangan yang sesuai untuk simpanan jangka panjang dan bukan sekadar untuk tujuan spekulasi.
"Saya ibaratkan emas seperti ‘ubat alternatif’ kepada mereka yang mahu merawat kewangan.
"Ramai yang kini beralih kepada emas pelaburan kerana ia terbukti stabil dan mampu menjadi benteng ketika inflasi,” katanya yang telah membantu ramai individu merancang kewangan berasaskan emas.
Mengulas kebimbangan terhadap manipulasi harga oleh sesetengah peniaga, Shamsuddin mengakui ia mungkin berlaku dalam skala kecil, terutama di kawasan kurang pendedahan teknologi.
"Tapi sekarang ramai pengguna sudah celik maklumat dan boleh semak harga masa nyata. Malah persaingan antara peniaga emas juga semakin sihat.
"Kesimpulannya, pengecualian SST bukan sekadar satu dasar fiskal, tetapi langkah strategik yang mampu melonjakkan kedudukan Malaysia dalam peta pasaran emas serantau.
"Pada masa sama, ia menarik lebih ramai pelabur luar dan menggalakkan rakyat tempatan menjadikan emas sebagai sebahagian daripada strategi kewangan mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram