Kes isteri Rafizi diugut: Polis jejak pemilik nombor telefon berdaftar guna nama warga asing


  • Kes
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Rafizi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan.

POLIS sedang mengesan individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas anak lelakinya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil analisis mendapati nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan tersebut didaftarkan atas nama warga asing.

"Kita sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan didaftarkan atas nama warga asing dan kita sedang mengesan individu terbabit," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Putrajaya berhantu? Tular rakaman sesi rukyah lepas kecoh dakwaan kelibat wanita berambut panjang

BACA LAGI: Tular caj RM1,016 sejauh 2.9 km, Grab respons isu gangguan sistem

New IGP Datuk Seri Mohd Khalid Ismail on press conference after handing over ceremony for IGP's post at Police Training Centre (Pulapol) Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis masih giat mengesan dua penunggang motosikal yang disyaki terbabit kes serangan anak Rafizi.

"Kita belum dapat mengenal pasti suspek kerana kedua-dua individu-individu memakai topi keledar," katanya.

Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti jenis cecair yang disuntik kepada anak lelaki Rafizi dalam serangan di sebuah pusat beli-belah berkenaan, Mohd Khalid berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital.

Pemantauan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu oleh pihak hospital mendapati dia dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan fizikal.

Tambah Mohd Khalid, setakat ini seramai 19 individu sudah diambil keterangan termasuk keluarga Rafizi, pemandu dan pekerja serta saksi lain bagi membantu siasatan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mengambil dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang pada 13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi diserang dan disuntik cecair oleh individu di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.

Rafizi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram