
KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah memperkenalkan satu pakej percutian khas bertajuk 'Nursecation Holiday' bagi menghargai pengorbanan dan dedikasi para jururawat di Sibu dan Bintulu, terutamanya semasa pandemik Covid-19 dan dalam tugas harian mereka yang mencabar.
Menteri Motac, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada jururawat untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, selain sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting mereka dalam menjaga kesihatan awam.
“Kita mahu jururawat menikmati masa yang berkualiti bersama keluarga. Maka, kita perkenalkan promosi khas, tambang penerbangan sehala kos rendah dari Kuala Lumpur ke Sibu atau Bintulu bermula serendah RM138,” katanya semasa berucap dalam majlis Malam Penghargaan Jururawat Wilayah Tengah yang dihadiri lebih 1,000 petugas kesihatan pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki panik diekori polis, bawa mayat isteri digilis lori guna motosikal sejauh 80km
BACA LAGI: Kes serangan anak Rafizi: Bukit Aman ambil alih siasatan
Motac perkenal 'Nursecation Holiday' sebagai penghargaan buat jururawat.
Tempoh tempahan promosi tersebut akan bermula 1 hingga 30 September bagi perjalanan yang dijadualkan antara 1 September hingga 31 Disember.
Tawaran tersebut terbuka kepada jururawat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan boleh ditebus dengan memasukkan nombor pengenalan jururawat semasa membuat tempahan.
Datuk Seri Tiong, yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, inisiatif itu akan diperluaskan kepada golongan profesional kesihatan lain termasuk doktor dan ahli farmasi.
“Saya akan arahkan Ketua Pengarah kementerian saya untuk turut memasukkan kumpulan-kumpulan ini dalam pakej akan datang. Mereka semua memainkan peranan yang penting dan tidak boleh diketepikan,” tegasnya.
Selain tambang penerbangan diskaun, beberapa hotel di Sibu telah bersetuju memberikan potongan 10 peratus untuk penginapan dan Motac turut dalam rundingan dengan hotel-hotel di Kuala Lumpur untuk menawarkan diskaun serupa.
Motac juga sedang menyusun senarai tempat tarikan pelancongan seperti Skywalk dan taman tema yang bakal menawarkan diskaun istimewa kepada petugas kesihatan, terutamanya mereka yang melancong bersama anak-anak. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram