
PEMBERIAN RM100 secara one-off kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas, melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember depan.
Bantuan kewangan kepada semua rakyat dewasa itu boleh digunakan untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai, termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus's, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Melalui SARA, penerima boleh membeli 14 kategori barangan diluluskan meliputi beras, telur, mi segera, makanan dalam tin, minuman, perasa, biskut, minyak masak, roti, produk kebersihan diri, tepung, barangan kebersihan rumah, ubat dan keperluan sekolah.
BACA LAGI: Lali gaduh 'Tom & Jerry', 3 beradik jelita, rakan baik tepis cabaran bina jenama minyak wangi DAFT
Barangan yang boleh dibeli dengan SARA RM100 yang diberikan secara one-off kepada semua golongan dewasa di negara ini.
Menerusi perkongsian Kementerian Kewangan di Facebook, barang yang boleh dibeli meliputi 90,000 barangan seperti pampers atau lampin bayi pakai buang, panadol, sabun mandi dan sebagainya.
BERIKUT KAEDAH PEMBELIAN BARANG:
1. Pilih barangan keperluan
Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
Muat turun aplikasi MyKasih untuk menyemak kelayakan atau eligibiliti produk dalam kategori berkenaan.
2. Tunjuk MyKad untuk Pengesahan
Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
3. Tukar nombor pin
Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit pertama MyKad kepada nombor pin baharu untuk mengesahkan transaksi pembelian.
4. Imbas kod barangan
Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
5. Bayar guna MyKad
Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6 digit untuk mengesahkan transaksi pembelian. Mudah kata, ‘cashless’! Kalau tak habis guna, jangan risau baki tak tamat tempoh.
6. Simpan resit untuk semakan
Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Senarai penuh kedai boleh disemak di mykasih.net/sara2/merchant-list.
BERIKUT PANDUAN BAGI BANTUAN RM100 SARA
1. Layak untuk semua rakyat dewasa 18 tahun ke atas
Mulai 31 Ogos 2025, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas layak menerima RM100 secara one-off di bawah program SARA.
2. Tiada permohonan diperlukan
Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik layak mendapatkan bantuan tersebut.
3. Bantuan dikreditkan secara automatik dalam MyKad
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad.
PERINGATAN
Bantuan ini tidak boleh dipindah milik.
Kredit RM100 sah hingga 31 Disember 2025. Jika tidak digunakan, ia akan luput dan baki akan diagih semula kepada golongan rentan melalui program lanjutan.
Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan pengumuman RM100 di bawah SARA kepada kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Pemberian sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup dan juga sebagai penghargaan kepada rakyat.
Ia akan memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
Baki sumbangan yang tidak digunakan hingga tarikh akhir itu akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun depan.
Maklumat lanjut layari laman web Sumbangan Asas Rahmah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram