
"ADA yang cuba kaitkan serangan anak saya dengan Ismail Sabri atau Khairy Jamaluddin (KJ), ini cubaan jahat mengalihkan perhatian."
Demikian penjelasan dibuat Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berikutan dakwaan mengatakan kes itu berkait rapat dengan dua figura politik berkenaan.
Beliau dalam masa sama menafikan tuduhan yang menurutnya 'tiba-tiba' berlegar, berkait pertemuannya dengan pemberi maklumat mengenai suatu skandal yang sedang diteliti.
BACA LAGI: 'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat
"Tuduhan pertama, kononnya saya sedang meneliti satu kes yang melibatkan mantan Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob konon melibatkan wang yang dicuci di luar negara.
"Tuduhan terkini, kononnya saya sedang meneliti satu lagi kes melibatkan saudara Khairy Jamaluddin dan projek-projek semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan.
"Kedua-dua tuduhan itu tidak benar," ujarnya menerusi hantaran di laman sosial pada Rabu.
Terdahulu, satu insiden serangan dilaporkan berlaku membabitkan anak Rafizi Ramli, yang diserang secara tiba-tiba di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Kejadian berlaku ketika beliau seisi keluarga mahu memasuki kereta selepas membeli-belah sebelum didatangi dua lelaki berpakaian serba hitam yang dilaporkan mencucuk anaknya dengan sejenis jarum suntikan.
Kanak-kanak itu segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM (HSAAS). Serdang, Selangor untuk rawatan lanjut.
Tidak hanya berdepan cabaran sebagai pemimpin politik, Rafizi turut dilanda ujian dalam memastikan keselamatan keluarganya yang kini sedang diancam individu tidak diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram