
MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, Selangor menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM8,000 terhadap pemandu atas pertuduhan memandu bas secara berbahaya di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga murid dan seorang guru pada Sabtu lalu.
Majistret, Nur Nastasya Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hamir Masrudin, 44, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan terbabit.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman tambahan penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
BACA LAGI: Pak cik OKU rupanya bekas penuntut UPM, pernah wakili SUKMA harumkan nama Terengganu
BACA LAGI: Pesalah hukuman sebat syarie: Jangan pandang serong, beri mereka peluang — Pensyarah UPM
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didakwa memandu bas dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan, luas jalan dan kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di jalan itu) berbahaya kepada orang awam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Ttertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan dia bekerja sambilan dan menanggung keluarganya, terutama ibu yang sakit.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.
“Tertuduh memandu dalam keadaan cuai, laju dan berbahaya dan dalam kes ini terdapat tiga kanak-kanak dan seorang guru telah pun cedera akibat daripada pemanduan secara cuai tertuduh ini. Justeru, saya mohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh ini.
Bas berkenaan berada dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke MAEPS Serdang.
"Mohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh dan mohon juga sabitan untuk kesalahan ini diendorskan kepada lesen pemandu tertuduh dan juga mohon lesen memandu tertuduh digantung seperti mana peruntukan di bawah seksyen 42 APJ,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang guru dan tiga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang cedera selepas bas dinaiki mereka melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM.
Kejadian pada pukul 12.18 tengah hari itu berlaku ketika bas dipandu lelaki berusia 44 tahun membawa lima guru pengiring dan 30 murid sedang dalam perjalanan dari arah sebuah kilang coklat menuju ke G2G Animal Garden, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Sebelum itu, satu klip video rakaman kamera papan pemuka kenderaan memaparkan kemalangan berkenaan tular di media sosial dengan pemandu itu dilaporkan kepenatan dan tidak cukup tidur sehingga dipercayai menjadi punca kemalangan terbabit. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram