[VIDEO] 'Anak saya ada sekali, semua selamat', bapa lega susulan insiden bas bawa murid tadika kemalangan di UPM


  • Bonda
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Bas membawa murid tadika mengalami kemalangan ketika lawatan di UPM, namun semua dilaporkan selamat.

SEBUAH bas membawa 30 murid dan lima guru tadika dari PASTI Ampang terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah hari itu, bas yang dalam perjalanan ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bagi lawatan sambil belajar dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 44 tahun mengaku mengantuk semasa memandu dan gagal mengawal kenderaan.

BACA LAGI: Anak muda penat dengan 'dating app', pilih cara berkenalan secara bersemuka

BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman menginap di Assarraa, kediaman mewah, sarat tradisi dalam kawasan istana Brunei

"Bas terbabit membawa 30 kanak-kanak dan lima guru wanita. Akibat kejadian, tiga murid dan seorang guru mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Serdang," katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, saringan awal mendapati pemandu bas bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Sementara itu, dalam ruang komen video dashcam kejadian yang tular di media sosial, seorang pengguna bernama Mohd Zamry yang dikatakan bapa kepada salah seorang murid tampil menenangkan keadaan.

"Semua ok alhamdulillah, anak saya ada sekali semuanya selamat," katanya ringkas, sekali gus melegakan warga maya yang menyaksikan rakaman tersebut.

Antara turut berada dalam rombongan itu ialah pengguna media sosial dikenali sebagai The Wany Zain, yang berkongsi pengalaman dalam satu video yang kini mendapat perhatian ramai.

"First time ikut lawatan, excited nak tengok haiwan dengan kawan-kawan, semua seronok nak naik bas," katanya.

Mereka memulakan lawatan dengan mengunjungi kilang coklat Beryl’s sebelum menuju ke G2G Animal Garden sebagai destinasi seterusnya. Namun perjalanan itu bertukar cemas apabila bas membawa sebahagian murid terbabit dalam kemalangan.

"Kesian anak-anak terkejut, tapi alhamdulillah tak yang teruk hanya cedera ringan dan cikgu seorang kena jahit,"  katanya sambil meluahkan rasa simpati kepada anak-anak kecil yang terkejut dengan insiden berkenaan.

Sebagai seorang ibu, beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap pemandu bas berkenaan.

"Sebagai ibu bapa siapa yang nak jadi macam ini? Kita ini nak anak-anak gembira pergi dengan kawan-kawan, kami tak salahkan sekolah tapi sebagai ibu bapa geram dengan pemandu."

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan akan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat pengendali bas yang terlibat.

Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha berkata, tindakan lanjut akan diambil selepas laporan audit lengkap diterima bagi memastikan tahap pematuhan syarikat terhadap syarat keselamatan sedia ada.

"Kita akan semak rekod penyelenggaraan bas, lesen dan jadual kerja pemandu bagi memastikan tidak berlaku kecuaian di pihak operator," katanya.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan masyarakat, khususnya ibu bapa, terhadap aspek keselamatan pengangkutan murid ke aktiviti luar sekolah.

Ia turut membuka ruang kepada gesaan agar syarikat pengangkutan lebih bertanggungjawab memastikan pemandu mendapat rehat mencukupi sebelum bertugas.

Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, insiden itu menjadi peringatan penting kepada semua pihak bahawa keselamatan pelajar perlu sentiasa menjadi keutamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram